NEW DELHI: Dua pegawai tentera India dan seorang pegawai kanan polis terbunuh dalam pertempuran dengan militan di wilayah Jammu dan Kashmir pada Rabu.

Mereka sedang menjalankan operasi anti-pemberontak di daerah Anantnag apabila pertempuran berlaku, menurut tentera dan polis.

"Pertempuran telah bermula di kawasan Kokernag di Anantnag. Pegawai dari tentera dan JKP cedera. Maklumat lanjut akan menyusul," kata polis Jammu dan Kashmir di media sosial.

Pegawai kanan keselamatan itu menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan.

Mangsa dikenal pasti sebagai Kolonel Manpreet Singh, Mejar Ashish Dhonack, dan timbalan penguasa polis Kashmir Humayun Muzammil Bhat.

Kolonel tersebut mengendalikan sebuah unit pasukan Rifles Rashtriya.

Dalam kejadian berasingan pada Rabu, seorang tentera dan dua militan terbunuh di daerah Rajouri, yang terletak berhampiran garis kawalan antara India dan Pakistan.

-- BERNAMA