PERKEMBANGAN mutakhir di selatan Lubnan telah menimbulkan pelbagai tafsiran mengenai kedudukan kerajaan Lubnan, Hezbollah dan Israel. Antara dakwaan yang beredar ialah Lubnan telah “menyerahkan” atau “menjual” kawasan selatannya kepada Israel susulan perubahan kerangka keselamatan di wilayah berkenaan.
Kesimpulan sedemikian bagaimanapun terlalu menyederhanakan realiti politik dan keselamatan Lubnan.
Apa yang sedang berlaku bukanlah penyerahan kedaulatan wilayah Lubnan kepada Israel, tetapi sebahagian daripada proses penyusunan semula keselamatan yang melibatkan kedudukan persenjataan Hezbollah, perluasan peranan Tentera Lubnan (Lebanese Armed Forces, LAF) dan tuntutan supaya Israel berundur daripada wilayah Lubnan.
Perkembangan ini perlu dibaca dalam konteks tekanan yang semakin meningkat terhadap Hezbollah selepas peperangan dengan Israel. Rundingan Lubnan-Israel yang dimediasi Amerika Syarikat turut bergerak kepada persoalan mengenai mekanisme pengesahan proses pelucutan senjata Hezbollah. Pada masa yang sama, persoalan pengunduran Israel dari kawasan yang masih didudukinya belum diselesaikan sepenuhnya.
Justeru, perkembangan tersebut tidak boleh ditafsirkan semata-mata sebagai kemenangan Israel atau penyerahan Lubnan.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa perubahan kedudukan ketenteraan Hezbollah akan memberikan kelebihan strategik kepada Israel. Persoalannya ialah sejauh mana perubahan tersebut turut memberi kesan kepada keseimbangan politik dalaman Lubnan.
Hezbollah bukan sekadar sebuah organisasi ketenteraan. Gerakan itu juga merupakan sebuah organisasi politik dan sosial yang mempunyai akar yang mendalam dalam komuniti Syiah Lubnan. Sebarang perubahan besar terhadap kedudukan ketenteraannya dengan demikian hampir pasti mempunyai implikasi terhadap struktur politik negara tersebut.
Keseimbangan Politik Lubnan
Untuk memahami persoalan ini, struktur politik Lubnan perlu diberikan perhatian. Sejak Perjanjian Nasional 1943 dan perubahan yang diperkenalkan melalui Perjanjian Taif 1989, pembahagian kuasa politik Lubnan banyak berasaskan keseimbangan antara komuniti agama utama. Presiden secara konvensyen merupakan seorang Kristian Maronite, Perdana Menteri daripada komuniti Sunni, manakala Speaker Parlimen daripada komuniti Syiah.
Sistem tersebut bertujuan mengurus kepelbagaian masyarakat Lubnan, tetapi sejarah perang saudara antara 1975 hingga 1990 menunjukkan betapa rapuhnya keseimbangan berkenaan apabila persaingan politik bertukar menjadi konflik antara komuniti.
Atas sebab itu, persoalan pelucutan senjata Hezbollah tidak pernah hanya berkaitan siapa yang berhak memegang senjata.
Ia turut menyentuh persoalan mengenai kedudukan komuniti Syiah dalam struktur politik Lubnan serta bagaimana monopoli keselamatan negara dapat dikembalikan tanpa mencetuskan persepsi bahawa satu komuniti sedang dilemahkan.
Dalam konteks inilah kedudukan Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, menjadi semakin penting.
Berri bukan sekadar Speaker Parlimen. Beliau juga merupakan pemimpin Harakat Amal, salah satu gerakan politik utama Syiah Lubnan dan sekutu politik Hezbollah.
Kedudukan tersebut meletakkan Berri dalam posisi yang agak unik. Beliau merupakan sebahagian daripada institusi rasmi negara Lubnan, tetapi pada masa yang sama mempunyai hubungan politik yang rapat dengan Hezbollah.
Keadaan ini membolehkan Berri memainkan peranan yang sukar dilakukan oleh Hezbollah secara langsung.
Beliau boleh berunding melalui institusi negara, berkomunikasi dengan pelbagai kuasa luar dan pada masa yang sama mengekalkan saluran politik dengan Hezbollah.
Kini terdapat satu lagi dimensi yang menjadikan kedudukan Berri semakin menarik: Syria.
Syria Pasca-Assad
Kunjungan Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani ke Beirut pada awal Julai lalu, termasuk pertemuannya dengan Nabih Berri, perlu dilihat dalam konteks perubahan besar yang berlaku selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad.
Kerajaan Syria hari ini lahir daripada lingkungan politik dan ketenteraan yang selama bertahun-tahun berperang menentang rejim Assad.
Hezbollah pula pernah terlibat secara langsung dalam perang Syria dengan menyokong dan mempertahankan kerajaan Assad.
Kedua-duanya dengan demikian mempunyai sejarah permusuhan yang tidak kecil.
Namun hubungan antarabangsa jarang ditentukan oleh sejarah semata-mata. Perubahan kepentingan negara sering memaksa aktor politik menilai semula hubungan dengan bekas musuh dan sekutu.
Syria pasca-Assad berhadapan keperluan membina semula negara, mengawal sempadan, menstabilkan hubungan dengan Lubnan dan menghadapi ancaman keselamatan Israel.
Dalam keadaan tersebut, Damsyik tidak mempunyai kepentingan untuk membaca setiap aktor politik Lubnan hanya berdasarkan kedudukan mereka ketika perang Syria.
Hezbollah mungkin merupakan bekas musuh kepada kelompok yang kini memerintah Syria, tetapi gerakan tersebut kekal sebahagian daripada realiti politik Lubnan.
Menariknya, kerajaan baharu Syria setakat ini tidak menunjukkan kecenderungan untuk kembali kepada model hubungan era Assad apabila Damsyik menjadi salah satu komponen penting dalam rangkaian strategik Iran-Hezbollah.
Namun Damsyik juga tidak semestinya perlu mengambil kedudukan yang menjadikan Hezbollah sebagai musuh yang mesti diperangi.
Kenyataan al-Shaibani bahawa Syria terbuka untuk bertemu Hezbollah sekiranya diperlukan demi kepentingan negara memperlihatkan kemungkinan pendekatan yang lebih pragmatik.
Dalam hubungan antarabangsa, dialog tidak semestinya membawa maksud pakatan.
Negara berunding bukan sahaja dengan sekutu, tetapi juga dengan pesaing dan musuh apabila kepentingan keselamatan dan kestabilan memerlukannya.
Nabih Berri Sebagai Jambatan Politik
Di sinilah peranan Nabih Berri wajar diberikan perhatian. Syria tidak perlu kembali menjadi sekutu Hezbollah, sementara Hezbollah juga tidak mungkin melupakan pengalaman perang Syria. Namun kedua-duanya mempunyai kepentingan untuk mengelakkan permusuhan lama berkembang menjadi konflik baharu.
Ketidakstabilan di Lubnan berpotensi memberi kesan langsung kepada Syria. Hezbollah pula mempunyai kepentingan untuk memastikan Syria tidak berubah daripada bekas laluan strategiknya kepada sebuah medan baharu yang meningkatkan tekanan terhadap gerakan tersebut.
Berri berada di antara dua kepentingan ini. Kedudukannya memungkinkan beliau menjadi jambatan politik tanpa perlu mengembalikan hubungan Syria-Hezbollah kepada bentuk yang wujud ketika pemerintahan Assad.
Peranan tersebut menjadi semakin signifikan apabila dikaitkan dengan perubahan keselamatan di selatan Lubnan.
Israel mempunyai kepentingan strategik untuk melihat keupayaan ketenteraan Hezbollah dikurangkan. Lebih menguntungkan Israel sekiranya tekanan terhadap Hezbollah tidak lagi datang daripada Israel semata-mata, tetapi turut dihasilkan melalui proses pengukuhan institusi negara Lubnan.
Namun kerajaan Lubnan mempunyai pertimbangan yang lebih rumit.
Beirut mempunyai kepentingan untuk mengembalikan monopoli negara terhadap keselamatan dan persenjataan. Pada masa yang sama, proses tersebut perlu dilakukan tanpa menimbulkan konflik dalaman atau persepsi bahawa pengukuhan negara bermaksud pelemahan politik komuniti Syiah.
Pengalaman perang saudara menjadikan persoalan tersebut sangat sensitif.
Jika proses pengembalian monopoli keselamatan kepada negara diterjemahkan sebagai usaha menyingkirkan Hezbollah atau mengecilkan kedudukan politik komuniti Syiah, risiko ketegangan sektarian boleh meningkat.
Atas sebab itu, Berri berpotensi menjadi salah seorang aktor penting dalam memastikan penyusunan semula keselamatan tidak berkembang menjadi penyusunan semula politik yang mengganggu keseimbangan antara komuniti di Lubnan.
Syria juga mempunyai kepentingan terhadap kestabilan sedemikian, bukan kerana Damsyik perlu mempertahankan Hezbollah, tetapi kerana ketidakstabilan Lubnan hampir pasti mempunyai implikasi terhadap keselamatan Syria.
Berakhirnya Susunan Lama
Perkembangan ini turut menunjukkan perubahan lebih besar dalam geopolitik Asia Barat.
Sebelum kejatuhan Assad, jaringan strategik yang menghubungkan Iran dengan Hezbollah boleh digambarkan secara ringkas melalui laluan: Tehran – Baghdad – Damsyik – Hezbollah.
Syria merupakan komponen penting dalam jaringan tersebut, khususnya sebagai ruang penghubung antara Iran dengan Hezbollah di Lubnan.
Kejatuhan Assad telah memutuskan susunan lama itu.
Syria bukan lagi sebahagian daripada paksi strategik yang sama. Namun keluarnya Damsyik daripada paksi Iran-Hezbollah tidak secara automatik bermaksud Syria perlu menjadi sebahagian daripada paksi yang memusuhi Hezbollah.
Sebaliknya, Syria berkemungkinan sedang bergerak ke arah pendekatan yang lebih berasaskan kepentingan negara.
Ini bermaksud membina hubungan dengan kerajaan Lubnan dan institusi rasminya, berkomunikasi dengan pelbagai kelompok politik termasuk Nabih Berri, serta tidak menutup kemungkinan dialog dengan Hezbollah sekiranya kepentingan keselamatan memerlukannya.
Pendekatan sedemikian merupakan bentuk pragmatisme politik.
Ia tidak bermaksud sejarah telah dilupakan atau bekas musuh telah berubah menjadi sekutu. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa aktor-aktor serantau sedang menyesuaikan kedudukan masing-masing dengan realiti pasca-Assad dan perubahan keseimbangan ketenteraan di Lubnan.
Tatanan Baharu yang Belum Selesai
Kesemua perkembangan ini menunjukkan bahawa persoalan mengenai masa depan Hezbollah tidak boleh disempitkan kepada isu pelucutan senjata semata-mata.
Israel mempunyai kepentingan untuk memastikan Hezbollah tidak kembali kepada tahap keupayaan ketenteraan sebelumnya. Amerika Syarikat pula mahu institusi negara Lubnan mempunyai monopoli terhadap senjata, sementara kerajaan Lubnan perlu mengembalikan kedaulatannya tanpa mencetuskan konflik dalaman.
Hezbollah pada masa yang sama perlu memastikan tekanan ketenteraan tidak berubah menjadi kehilangan kedudukan politik sepenuhnya. Harakah Amal dan Nabih Berri pula mempunyai kepentingan untuk memastikan komuniti Syiah tidak terpinggir dalam proses penyusunan semula tersebut.
Syria mempunyai pertimbangan yang berbeza: membina hubungan baharu dengan Lubnan tanpa kembali kepada model penguasaan era Assad dan tanpa terheret ke dalam konflik dalaman negara jirannya.
Kesemua kepentingan tersebut sedang bertembung dan berunding pada masa yang sama.
Justeru, persoalan utama bukan sekadar sama ada Hezbollah akhirnya akan menyerahkan senjatanya.
Persoalan yang lebih besar ialah apakah bentuk keseimbangan politik Lubnan selepas perang, di manakah kedudukan Hezbollah, Amal dan komuniti Syiah dalam keseimbangan tersebut, serta apakah bentuk hubungan mereka dengan Syria pasca-Assad.
Jawapannya masih belum jelas.
Namun satu perkara semakin nyata. Kejatuhan Assad bukan sekadar mengubah politik Syria. Ia turut memaksa Hezbollah, Lubnan dan aktor-aktor serantau menyusun semula hubungan yang telah terbentuk selama beberapa dekad.
Dalam proses tersebut, Nabih Berri mungkin muncul sebagai salah seorang tokoh yang lebih penting daripada yang kelihatan di permukaan.
Oleh itu, perkembangan di selatan Lubnan tidak wajar dibaca semata-mata melalui kerangka siapa yang menang dan siapa yang kalah. Dakwaan bahawa Lubnan telah “menyerahkan” wilayah selatannya kepada Israel mungkin menghasilkan tajuk yang menarik, tetapi ia tidak memadai untuk menerangkan perubahan struktur yang sedang berlaku.
Apa yang kelihatan sebagai kemenangan satu pihak pada hari ini mungkin sekadar satu fasa dalam pembentukan tatanan serantau yang masih belum selesai.
Geopolitik jarang bergerak dalam garis lurus.
Dalam keadaan naratif sering bergerak lebih pantas daripada fakta, ketepatan dan konteks kekal lebih penting daripada kepantasan membuat kesimpulan.
*Artikel ini tulisan Muhammad Syahmi Afiq Mohd Shukari, yang merupakan penulis dan pemerhati isu Palestin serta Asia Barat yang memberi tumpuan kepada aspek kemanusiaan, geopolitik dan sejarah. Beliau telah menghasilkan lebih 50 artikel analitikal, selain merupakan penulis buku Zionisme: Daripada Idea Menjadi Kuasa dan penulis bersama Baitul Maqdis: Jalan Menuju Pembebasan.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.