“HATI-hati berjalan di sini kerana mungkin kita terpijak darah syuhada,” pesan Syeikh Salleh Fayoumi Al-Khatib ketika kami berjalan di celah-celah runtuhan di kawasan yang pernah menjadi pusat pentadbiran wilayah Joubar, di Damsyik, Syria.
Di tempat yang sama, kami juga dimaklumkan penghuni asalnya tidak lagi dapat mengenali tapak rumah mereka kerana impak kemusnahan akibat serangan besar-besaran.
Advertisement
Ia adalah gambaran sebenar terhadap korban nyawa yang tidak terkira, di kawasan yang suatiu ketika dahulu padat dihuni lebih 275,000 orang penduduk.
Itu baharu satu cerita di Joubar, belum lagi Ghoutah, Yarmouk atau tempat lain di luar Damsyik seperti Daraa, Homs, Hama, Aleppo atau Idlib.
Sepanjang 13 tahun kebangkitan rakyat menentang Bashar, tiada tempat yang tidak terkesan dengan kezaliman yang dilakukan.
Kini selepas setahun pembebasan, rakyat negara itu masih berlarutan menanggung bahana yang ditinggalkan dalam hampir semua aspek kehidupan.
Ia menjadi satu lagi ujian besar membina semula sebuah negara yang hampir lumpuh.
Walau pun terdapat perkembangan daripada sudut keselamatan dan perubahan dalam landskap tadbir urus, fasa pembinaan semula dilihat jauh lebih mencabar.
Pengalaman menjejaki sisa-sisa kemusnahan di Yarmouk, Ghoutah dan Joubar di sekitar Damsyik yang dimusnahkan secara terancang oleh rejim Bashar menjadi isu yang perlu ditangani segera oleh kerajaan baharu di bawah Presiden Ahmed Al-Sharaa.
Di kebanyakan kawasan, penduduk yang kembali ke kampung halaman mendapati rumah mereka hanya tinggal rangka konkrit atau timbunan batu.
Bagi rakyat Syria, persoalannya bukan lagi soal keselamatan, tetapi bagaimana untuk memulakan hidup baharu tanpa tempat berteduh dan sumber pendapatan.
Dalam laporan beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 16 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan.
Menurut Program Makanan Dunia (WFP) lebih 12 juta rakyat Syria mengalami masalah keselamatan makanan, dengan jutaan lagi berisiko tinggi terjerumus ke tahap lebih kritikal akibat inflasi dan kemerosotan ekonomi.
Angka berkenaan berubah mengikut keadaan semasa, namun tren keseluruhannya menunjukkan tahap kemiskinan kekal tinggi.
Ia menjadikan tiga juta yang pulang daripada kem pelarian atau kawasan perlindungan sementara bergelut kini dengan kekurangan makanan, harga barangan yang melambung tinggi dan peluang pekerjaan yang amat terhad.
Menurut Program Penempatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) 31 peratus stok perumahan perlu dibina semula atau dipulihkan, bagi menampung kira-kira 10 juta penduduk.
Dalam laporannya, ia memberitahu kosnya mencecah USD80 bilion.
Manakala Bank Dunia pula menganggarkan kos keseluruhan pembinaan semula Syria sekitar USD216 bilion, mengambil kira kemusnahan infrastruktur, kemudahan awam, sektor tenaga, industri dan perkhidmatan sosial.
Namun, pembinaan semula bukan sekadar soal membangunkan semula bangunan dan jalan raya tetapi melibatkan pemulihan sistem kesihatan, pendidikan, pentadbiran awam serta keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa.
Walau pun terdapat beberapa perkembangan berkaitan pelonggaran sekatan ekonomi antarabangsa terhadap kerajaan Syria ia tidak memberi kesan besar kepada aliran kewangan dan pelaburan.
Nilai mata wangnya masih lemah, inflasi tinggi serta pengangguran meluas terus menekan kehidupan rakyat.
Sektor minyak dan gas, yang pernah menjadi sumber pendapatan penting negara, juga belum pulih sepenuhnya kerana kerosakan kemudahan serta kawalan wilayah yang kompleks sepanjang konflik.
Begitu juga dengan perindustrian dan pertanian yang sebelum ini menjadi tulang belakang ekonomi.
Syria perlukan pakej bantuan ekonomi yang menyeluruh dan bukan setakat dana kemanusiaan daripada masyarakat antarabangsa semata-mata kerana ia bersifat jangka pendek selain impaknya yang terbatas.
Tidak dapat dinafikan memberi makanan dan keperluan asas penting dalam jangka pendek, namun negara itu memerlukan pelan pemulihan ekonomi yang mampan.
Tanpa pemulihan ekonomi yang tersusun, risiko kebergantungan berpanjangan terhadap bantuan luar akan terus menghantui negara itu.
Penarikan balik sekatan ekonomi antarabangsa di peringkat tertentu juga bukan satu jaminan kerana pelabur asing masih berhati-hati.
Tanpa aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), pemulihan sektor industri, pembinaan dan tenaga menjadi perlahan.
Ia ditambah dengan sektor minyak dan gas, yang sebelum ini menyumbang pendapatan penting kepada kerajaan, belum pulih sepenuhnya.
Syria telah memperoleh ruang kebebasan dan harapan baharu, tetapi perjalanan untuk bangkit sepenuhnya daripada kemusnahan perang masih panjang dan penuh dugaan.
Kini banyak mata memandang kepada keupayaan Presiden Al-Sharaa dan untuk membina ‘Syria Baharu’ bukan mudah.
* Razali Awang ialah Perunding Media Alkhair Malaysia
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.