Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Tiga tahun selepas 7 Oktober: Palestin bukan sekadar angka dan ulang tahun

Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal membawa bekas air berhampiran khemah di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza, 7 Okt 2026. - Gambar hiasan/AP
Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal membawa bekas air berhampiran khemah di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza, 7 Okt 2026. - Gambar hiasan/AP

Advertisement

ADAKAH nyawa rakyat Palestin hanya dinilai sebagai angka dalam laporan dan statistik korban? Genap tiga tahun selepas 7 Oktober 2023, dunia terus menghitung mereka yang terbunuh, cedera dan kehilangan tempat tinggal. Setiap angka itu ialah seorang manusia yang mempunyai nama, keluarga dan harapan. Sampai bilakah penderitaan mereka akan terus dicatat, sedangkan hak untuk hidup dengan selamat masih belum terjamin?

Pengeboman, pemindahan paksa dan kebuluran sepanjang tiga tahun ini telah memusnahkan kehidupan masyarakat Gaza. Ada keluarga kehilangan beberapa generasi, rumah menjadi runtuhan dan kanak-kanak terpaksa berpindah berkali-kali tanpa tempat yang selamat. Mendapatkan makanan, air bersih dan rawatan masih menjadi perjuangan harian. Gaza terus berdarah, sedangkan pelbagai sidang dan pertemuan antarabangsa mengenai keamanan masih gagal menjamin keselamatan rakyatnya.

Keutamaan dunia mesti jelas: hentikan pembunuhan, tamatkan pengepungan dan akhiri pendudukan haram Israel. Gencatan senjata mesti melindungi orang awam, akses kemanusiaan mesti membolehkan kehidupan dipulihkan dan penyelesaian politik mesti menjamin hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri. Ketiga-tiga usaha ini mesti berjalan serentak. Keselamatan rakyat Palestin tidak boleh terus ditangguhkan demi menunggu rundingan yang berat sebelah dan gagal memberikan perlindungan kepada mereka.

Pada 16 September 2025, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB menyimpulkan bahawa rejim Zionis Israel telah melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza. Kesimpulan berasaskan penyiasatan ini menguatkan tuntutan agar negara-negara bertindak menghentikan kekejaman dan menyokong proses keadilan antarabangsa supaya pihak yang bertanggungjawab diadili.

Gencatan senjata pula belum menjamin keselamatan. Laporan OCHA bertarikh 2 Oktober 2026 memetik angka Kementerian Kesihatan Gaza bahawa 1,431 kematian dilaporkan sejak pengumuman persetujuan pada 10 Oktober 2025. Angka kematian bagi tempoh pelaporan terkininya turut merangkumi mereka yang meninggal akibat kecederaan dan jasad yang ditemukan. OCHA juga melaporkan kekerapan serangan udara harian di kawasan padat penduduk.

Keberkesanan persetujuan itu mesti diukur melalui keselamatan rakyat dan pemulihan keperluan asas mereka. Bilangan lori yang melintasi sempadan sahaja belum membuktikan bantuan sudah memadai atau komitmen dalam perjanjian telah dipenuhi. Kemasukan bantuan tidak boleh sekadar dipamerkan sebagai tanda kemajuan, sedangkan bekalannya tidak menepati keperluan paling mendesak rakyat Palestin. Ukuran sebenar ialah sama ada pesakit menerima ubat dan rawatan manakala keluarga memperoleh makanan serta air bersih yang mencukupi. Negara pengantara perlu memastikan pemantauan bebas, laporan pelanggaran yang terbuka dan tindakan susulan yang jelas apabila komitmen tidak ditunaikan.

Tiga tahun ini mesti dilihat dalam sejarah panjang pencabulan hak rakyat Palestin. Nakba 1948 menyaksikan pengusiran dan perpindahan besar-besaran penduduk Palestin, disusuli pendudukan sejak 1967 yang terus menafikan hak mereka terhadap tanah air dan kehidupan sendiri. Menjadikan 7 Oktober 2023 sebagai titik mula persoalan Palestin mengaburkan akar masalah ini dan memberi ruang kepada rejim zionis Israel menggambarkan tindakannya semata-mata sebagai usaha mempertahankan diri.

Naratif tersebut digunakan untuk meraih simpati dunia, sedangkan penindasan terhadap rakyat Palestin telah berlangsung puluhan tahun sebelum peristiwa itu. Alasan mempertahankan diri tidak boleh mengabsahkan serangan terhadap orang awam, hukuman kolektif, kebuluran sebagai kaedah peperangan atau pemindahan paksa. Kewajipan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa tetap terpakai. Sebarang usaha penyelesaian mesti menangani pengusiran, perampasan tanah dan pendudukan yang menjadi punca penderitaan rakyat Palestin.

Tumpuan dunia kepada Gaza juga tidak boleh menenggelamkan keadaan rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat. Mereka berdepan perobohan rumah, pemindahan, sekatan pergerakan dan keganasan peneroka. Terdapat insiden perobohan di Az Za’ayyem, di sebelah timur Baitulmaqdis, pada 23 September 2026 yang menyebabkan 33 orang kehilangan tempat tinggal, termasuk 20 kanak-kanak. Bentuk tekanan ini berbeza daripada pengeboman di Gaza, tetapi turut mengancam kehidupan dan kedudukan mereka di tanah air sendiri. Solidariti serta tuntutan perlindungan mesti merangkumi seluruh wilayah Palestin yang diduduki.

Dalam memperjuangkan perlindungan seluruh rakyat Palestin, pemulihan kehidupan di Gaza juga tidak boleh ditangguhkan. Penilaian bersama PBB, Kesatuan Eropah dan Bank Dunia pada April 2026 menganggarkan keperluan pemulihan dan pembinaan semula Gaza sebanyak AS$71.4 bilion sepanjang sepuluh tahun. Pembiayaan sebesar ini memerlukan perancangan yang dipimpin rakyat Palestin, dengan guru, petugas kesihatan, jurutera dan pertubuhan tempatan menentukan keutamaan.

Namun, pembinaan semula Gaza masih sukar dibayangkan apabila barangan keperluan asas terus disekat yang turut menjejaskan bekalan air, sanitasi, pembersihan dan perkhidmatan kesihatan. Pasukan GPM di Gaza memaklumkan bahawa makanan bergula dan tidak sihat banyak ditemukan, sedangkan bekalan makanan berkhasiat yang diperlukan, khususnya oleh kanak-kanak, masih tidak mencukupi. Pemulihan memerlukan bekalan yang menepati keperluan penduduk serta akses tanpa halangan kepada ubat-ubatan, bahan binaan dan peralatan.

Selagi sekatan ini berterusan, diplomasi mesti dinilai melalui keupayaannya mengubah keadaan di lapangan. Tindakan puluhan wakil delegasi meninggalkan dewan ketika Benjamin Netanyahu mula berucap di Perhimpunan Agung PBB pada 24 September 2026 merupakan isyarat penolakan terhadap kepimpinannya yang meneruskan genosid di Gaza. Namun, bantahan simbolik sahaja tidak memadai. Ia mesti disusuli tindakan menilai semula kerjasama ketenteraan, mengenakan sekatan terhadap perdagangan yang menyokong pencabulan dan menggunakan saluran diplomatik untuk menuntut pertanggungjawaban.

Mekanisme Uniting for Peace, atau “Bersatu demi Keamanan”, membolehkan Perhimpunan Agung PBB mengesyorkan tindakan kolektif apabila Majlis Keselamatan buntu akibat pertentangan anggota tetap. Resolusi 377 A(V) ini tidak membatalkan veto atau menjadikan syornya mengikat. Namun, ia menyediakan ruang untuk negara-negara menyelaraskan tekanan terhadap Israel.

Asas menamatkan pendudukan sudah tersedia. Resolusi 242 menyeru pengunduran tentera Israel dari wilayah yang diduduki dalam perang 1967. Pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024 pula menyatakan bahawa keberadaan berterusan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah menyalahi undang-undang dan mesti ditamatkan secepat mungkin. Negara lain berkewajipan tidak mengiktiraf atau membantu mengekalkan keadaan tersebut.

Resolusi ES-10/24 turut menyeru penghentian import dari penempatan haram, sekatan pemindahan senjata apabila terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki senjata itu mungkin digunakan di wilayah Palestin yang diduduki, serta sekatan terhadap pihak yang mengekalkan pendudukan.

ABIM menggesa Malaysia bekerjasama dengan Palestin, negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan rakan merentas rantau ‘like minded countries’ untuk melaksanakan langkah tersebut. Setiap negara yang menyertainya perlu mengumumkan tindakan dan melaporkan kemajuan, sambil memastikan akses kemanusiaan dilindungi.

Desakan mengeluarkan Israel daripada PBB boleh diteruskan, tetapi Perkara 6 Piagam mensyaratkan syor Majlis Keselamatan sebelum keputusan Perhimpunan Agung. Halangan veto tetap wujud dan Uniting for Peace tidak mengetepikannya. Sekatan senjata serta tindakan terhadap sokongan kepada pendudukan tidak boleh ditangguhkan sementara menunggu pengusiran berjaya.

Pengiktirafan negara Palestin pula mesti disertai perlindungan wilayah dan hak rakyatnya mentadbir. Sebarang pentadbiran sementara atau aturan keselamatan di Gaza mesti melibatkan rakyat Palestin dan membuka jalan untuk menamatkan pendudukan. Pengawasan antarabangsa tidak boleh menggantikan hak mereka menentukan masa depan. Hak pelarian untuk kembali serta tuntutan keadilan sejarah juga mesti dipertahankan.

Tekanan terhadap kerajaan memerlukan gerakan masyarakat yang berterusan. Gallup pada Februari 2026 mendapati 53% rakyat Amerika berusia 18 hingga 34 tahun lebih bersimpati kepada Palestin, berbanding 23% kepada rejim zionis Israel. Dapatan ini membuka ruang kepada gerakan belia seperti ABIM untuk memperkukuh hubungan dengan mahasiswa, pendidik, kesatuan pekerja dan pertubuhan agama antarabangsa. Simpati tersebut perlu diterjemahkan kepada tuntutan khusus, termasuk semakan pelaburan universiti yang berkaitan dengan pencabulan hak rakyat Palestin serta desakan menghentikan sokongan ketenteraan dan politik yang membolehkan pencabulan berterusan.

Tekanan masyarakat juga bergantung pada akses kepada maklumat dan kesaksian rakyat Palestin. Laporan Human Rights Watch yang diterbitkan pada Disember 2023 meneliti 1,050 kes pemadaman atau sekatan kandungan di Instagram dan Facebook pada Oktober–November tahun tersebut, melibatkan lebih 60 negara. Kes yang dikaji menunjukkan penapisan terhadap ungkapan aman yang menyokong Palestin, termasuk laporan pencabulan hak asasi. Sekatan ini boleh menghalang kesaksian wartawan dan rayuan petugas perubatan daripada sampai kepada masyarakat, sekali gus menjejaskan usaha mendapatkan bantuan dan mendokumentasikan bukti.

Platform digital perlu menjelaskan alasan pemadaman kandungan, menyediakan saluran rayuan yang berkesan dan membenarkan audit bebas terhadap pelaksanaan dasar mereka. Universiti, media dan masyarakat sivil Malaysia pula boleh bekerjasama dengan organisasi Palestin untuk mengesahkan serta mengarkibkan kesaksian dengan persetujuan dan perlindungan identiti yang sewajarnya. Ketepatan maklumat mesti dijaga kerana dakwaan yang tidak benar boleh menjejaskan kredibiliti perjuangan dan digunakan untuk mempertikaikan bukti yang sahih.

Rakyat Malaysia juga boleh memastikan pendidikan dan pemulihan diteruskan melalui sumbangan berkala kepada organisasi yang telus. Prinsip karamah insaniyyah, kemuliaan setiap insan, menuntut kita semua mempertahankan rakyat Palestin sambil menolak kebencian terhadap mana-mana agama atau kaum lain. Maruah insan dan keadilan yang kami perjuangkan mesti terpakai kepada semua.

Tiga tahun terlalu panjang untuk rakyat Palestin terus menunggu perlindungan yang dijanjikan dunia. Mereka berhak hidup dengan selamat, kembali ke rumah dan menentukan masa depan tanpa pendudukan. Solidariti mesti diukur melalui tindakan yang menjamin hak tersebut. Palestin bukan sekadar angka korban atau ulang tahun untuk diperingati. Selagi penindasan berterusan, tanggungjawab dunia belum tertunai dan amanah perjuangan ini belum selesai. 


* Penulis ialah Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

 

Must Watch Video

Advertisement