WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarahkan Jabatan Kehakiman supaya menuntut hukuman mati terhadap individu yang membunuh kanak-kanak, serta perogol dan penjenayah pemerdagangan manusia yang membunuh mangsa mereka, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Saya akan menandatangani arahan presiden sebentar lagi bagi mengarahkan Jabatan Kehakiman menuntut hukuman mati terhadap pembunuh kanak-kanak, serta perogol dan penjenayah pemerdagangan manusia yang membunuh mangsa mereka," kata beliau pada sidang media di Jabatan Kehakiman.
Trump turut mengarahkan Peguam Negara supaya mempercepat pelaksanaan hukuman mati.
"Apabila juri membuat keputusan, hukuman mati akan dilaksanakan dengan segera dan pasti," tegasnya.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Gabenor California Gavin Newsom untuk menukar hukuman mati terhadap kesemua 548 banduan yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman itu di negeri berkenaan kepada penjara seumur hidup tanpa kemungkinan mendapat parol.
Newsom menjelaskan bahawa hukuman mati tidak selaras dengan nilai yang dipegang California, yang kali terakhir melaksanakan hukuman itu pada Januari 2006.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI