Ringkasan AI
- Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, diberikan kuasa mutlak menentukan calon GPS di semua 82 kerusi DUN pada PRN Sarawak ke-13.
- Kuasa tersebut meliputi pemilihan calon di Bawang Assan dan Engkilili selepas penyandangnya, Wong Soon Koh dan Johnichal Rayong, keluar daripada PDP.
- Penyandang Muara Tuang, Datuk Idris Buang, tidak akan mempertahankan kerusi, membuka ruang kepada calon baharu pada PRN kali ini.
KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai kuasa mutlak menentukan siapa yang akan bertanding atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ketua Penerangan GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mandat penuh telah diberikan keempat-empat parti komponen GPS, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), kepada Premier untuk menentukan senarai calon gabungan itu.
Menurutnya, kuasa berkenaan turut meliputi pemilihan calon bagi kerusi Bawang Assan dan Engkilili, susulan tindakan penyandangnya, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Dr Johnichal Rayong Ngipa, yang mengumumkan keluar daripada PDP.
Selain itu, kerusi Muara Tuang turut menjadi perhatian selepas penyandangnya, Datuk Idris Buang, memaklumkan tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada pemilihan calon baharu.
“Itu adalah hak mutlak Yang Amat Berhormat Premier kerana kesemua parti dalam GPS, Gabungan Parti Sarawak, iaitu Parti PBB, Parti PDP, SUPP dan PRS sudah memberi keseluruhan mandat, kuasa untuk siapa yang akan menjadi calon-calon di semua 82 kerusi kepada Yang Amat Berhormat Premier,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian kepada Astro AWANI selepas Sidang Media Praacara 4th Borneo Open International Dancesport Championship and Convention (BOIDC) di sini, pada Selasa.
Mengulas kemungkinan Soon Koh dan Rayong terus diberi peluang bertanding, termasuk sebagai calon langsung GPS, Abdul Karim berkata keputusan itu juga masih tertakluk kepada pertimbangan Premier.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan kedua-dua wakil rakyat berkenaan sebagai pemimpin yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan masing-masing berdasarkan rekod dan pengalaman politik mereka.
“Yang Berhormat Johnichal Rayong ini sudah bertanding di tempat itu banyak kali. Memang dia sangat popular.
“Sama juga dengan Datuk Seri Wong Soon Koh, sangat popular. Dia sudah menjadi penyandang di tempat itu tujuh, lapan atau sembilan kali. Memang sangat kuat di kawasan masing-masing,” katanya lagi.
Pada Isnin, Soon Koh yang juga penyandang kerusi Dun Bawang Assan mengumumkan peletakan jawatannya daripada PDP, namun menegaskan beliau kekal menyokong GPS dan kepimpinan Abang Johari.
Selain Soon Koh, Rayong turut mengumumkan keluar daripada PDP serta meletakkan semua jawatan disandangnya dalam parti itu.
Manakala Idris yang merupakan Bekas Timbalan Speaker DUN Sarawak yang juga penyandang kerusi Muara Tuang juga memaklumkan beliau tidak akan menawarkan diri bertanding pada PRN kali ini.