SUSULAN kejadian runtuhan kondominium 12 tingkat dekat pantai Miami, Florida, Amerika Syarikat, satu laporan mendedahkan, terdapat kesilapan besar dalam struktur reka bentuk asal bangunan berkenaan.

Antara lain, laporan pada 2018 oleh perunding kejuruteraan bangunan mendedahkan, kesilapan itu menghalang aliran air keluar daripada tapak Menara Champlain Selatan itu.

Laporan tersebut dikeluarkan pada Sabtu dan boleh dibaca oleh orang awam.

Seorang jurutera, Frank Morabito berkata, ketiadaan sistem pengairan yang baik boleh dianggap isu yang sistematik.

Ia katanya, lahir daripada kegagalan pihak pemaju mengenal pasti perkara berkenaan dalam kontrak asal.

Sebahagian bangunan kondominium itu runtuh pada Khamis waktu tempatan, ketika penghuninya sedang nyenyak tidur.

Sehingga kini, masih terdapat kira-kira 159 mangsa yang terperangkap dan belum dikeluarkan, kata Datuk Bandar Miami Daniella Levine Cava.

BACA: Pangsapuri runtuh: 4 disahkan maut, 159 mangsa dikhuatiri tertimbus 

Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kondominium berkenaan bagi mencari mangsa yang mungkin masih hidup.

Bagaimanapun, usaha menyelamat pada Sabtu diganggu masalah kebakaran di bangunan tersebut dan menyukarkan pasukan mendekati lokasi kejadian.

Kira-kira 130 anggota bomba dikerahkan bertugas dan mereka bertungkus-lumus bekerja 24 jam sepanjang operasi.




Krew penyelamat menggunakan bantuan anjing dan mikrofon untuk mencari mangsa.

Setakat ini, empat orang disahkan meninggal dunia.

Bangunan tersebut pada asalnya mempunyai 136 unit kediaman dan insiden pada Khamis menyebabkan sebanyak 55 unit di bahagian timur laut bangunan tersebut runtuh.