Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Arab Saudi tersepit dalam perang AS-Iran

[TB]_Saudi Crown Prince Mohammed Bin Salman_REUTERS
Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang menjadi pemerintah de facto negara itu sedang melaksanakan pelan transformasi ekonomi dikenali sebagai Visi 2030 bertujuan mengurangkan kebergantungan ekonomi Saudi terhadap hasil minyak. - Gambar Reuters
Advertisement

RIYADH: Arab Saudi kini berdepan dilema yang semakin rumit ketika negara itu berusaha mengelak daripada terlibat secara langsung dalam konflik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, Riyadh pada umumnya cuba mengambil pendekatan berkecuali dan menjauhkan diri daripada peperangan berkenaan.

Namun, selepas berdepan serangan dari beberapa arah, kesabaran Arab Saudi dilihat semakin teruji. 

Minggu ini, Riyadh melancarkan serangan bersama AS terhadap kumpulan pejuang proksi Iran di Iraq yang dipercayai bertanggungjawab melancarkan serangan dron ke atas negara itu.

Bagi Arab Saudi, persoalan utama ketika ini ialah sama ada untuk terus membalas serangan sebagai langkah pencegahan atau mencari jalan mengurangkan ketegangan, termasuk melalui rundingan dengan pihak yang dianggap musuh.

Konflik semakin melebar

Secara umum, konflik yang telah berlarutan selama lima bulan di rantau Teluk dan Asia Barat itu melibatkan dua blok utama.

Di satu pihak ialah Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang turut disokong kumpulan Houthi di Yaman. Kumpulan itu menguasai sebahagian besar wilayah Yaman sejak 2014.

Iran juga didakwa menyokong Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) di Iraq, sebuah kumpulan separa tentera yang dituduh melancarkan kira-kira 30 serangan dron ke atas Arab Saudi sebelum menjadi sasaran serangan balas Riyadh.

Turut berada dalam pakatan sama ialah Hezbollah di Lubnan, yang walaupun masih berpengaruh, kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan kurang aktif.

Image
The US and Saudi Arabia carried out strikes at a site belonging to Iraq's paramilitary Popular Mobilisation Forces
a { text-decoration: none; color: #464feb; } tr th, tr td { border: 1px solid #e6e6e6; } tr th { background-color: #f5f5f5; } AS dan Arab Saudi melancarkan serangan terhadap sebuah kemudahan milik Pasukan Mobilisasi Popular (PMF), kumpulan separa tentera Iraq.

Di pihak bertentangan pula ialah AS menerusi Komando Pusatnya (CENTCOM), bersama beberapa sekutu Arab di rantau Teluk dan Jordan. Israel kekal sebagai sekutu rapat Washington, namun, tidak terlibat secara langsung dalam konflik semasa.

Dalam perkembangan terkini, Iran menumpukan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Jordan, Kuwait dan Bahrain selain menyasarkan kapal dagang yang melalui Selat Hormuz tanpa mematuhi peraturan pelayaran baharu yang ditetapkan Tehran.

Penyertaan kumpulan pejuang Iraq dan Houthi menjadikan konflik itu semakin kompleks serta meningkatkan risiko perang yang lebih meluas sekiranya tiada perjanjian damai berkekalan dicapai antara AS dan Iran.

Visi 2030 berisiko terjejas

Arab Saudi mempunyai beberapa sebab kukuh untuk mengelak daripada terjebak dalam peperangan berskala besar.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang menjadi pemerintah de facto negara itu sedang melaksanakan pelan transformasi ekonomi dikenali sebagai Visi 2030.

Inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kebergantungan ekonomi Saudi terhadap hasil minyak dengan membangunkan sektor industri moden yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu graduan dan lepasan sekolah setiap tahun.

Pelan itu turut bergantung kepada kemasukan pelaburan asing serta pembangunan infrastruktur strategik seperti pusat data yang terdedah kepada ancaman serangan.

Bagaimanapun, usaha itu berisiko terganggu sekiranya Arab Saudi terus berdepan ancaman dron dari Yaman atau serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran.

Serangan mengubah persepsi Riyadh

Riyadh pernah menerima tamparan besar pada September 2019 apabila dua kemudahan minyak utama di Abqaiq dan Khurais diserang dron yang didakwa dilancarkan oleh kumpulan proksi Iran di Iraq.

Ketika itu, terdapat dakwaan bahawa serangan berkenaan dilakukan Houthi dari Yaman, namun siasatan di lokasi menunjukkan kesan serangan datang dari arah utara.

Serangan itu menyebabkan hampir separuh eksport minyak Arab Saudi terhenti selama beberapa hari dan menjadi peringatan jelas mengenai kelemahan infrastruktur strategiknya terhadap ancaman serangan udara.

Pada Isnin lalu, imej satelit sekali lagi menunjukkan kemudahan minyak Abqaiq menjadi sasaran dron yang didakwa dilancarkan oleh kumpulan proksi Iran di Iraq.

Ancaman terhadap eksport minyak

Minyak kekal menjadi nadi utama ekonomi Arab Saudi.

Sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel pada Februari lalu, Iran bertindak menyekat laluan di Selat Hormuz, iaitu laluan perkapalan penting yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dan gas asli cecair dunia.

Bagi mengurangkan kesan gangguan itu, Riyadh meningkatkan penghantaran minyak melalui saluran paip timur-barat menuju ke terminal eksport Yanbu di pesisir Laut Merah.

Dari situ, minyak dibawa menggunakan kapal tangki ke Laut Arab sebelum dihantar ke pasaran Asia.

Namun, keadaan kembali meruncing apabila Arab Saudi mengebom Lapangan Terbang Sanaa pada 13 Julai lalu bagi menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat, menurut kerajaan Yaman yang disokong Riyadh.

Sebagai tindak balas, kumpulan Houthi menyerang lapangan terbang Arab Saudi di Abha dan Jizan.

Lebih membimbangkan, kumpulan itu turut mula menyasarkan kapal-kapal Arab Saudi di Laut Merah, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan di Selat Bab el-Mandeb yang menjadi laluan penting eksport minyak negara berkenaan ke Asia.

Ancaman lama kembali menghantui

Arab Saudi menghabiskan tujuh tahun cuba menundukkan Houthi melalui kempen ketenteraan di Yaman, namun gagal mencapai kemenangan mutlak.

Konflik itu mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarah moden, dengan kesannya masih dirasai sehingga kini.

Pada 2022, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang rapuh dan terdapat laporan mengenai usaha damai tidak rasmi.

Kini, negara terkaya di Asia Barat itu sekali lagi berdepan ancaman serangan dron dan peluru berpandu dari selatan menerusi Yaman, sambil terus ditekan oleh serangan dari Iraq di bahagian utara.

Perkembangan ini dilihat menambah cabaran besar kepada Arab Saudi dan berpotensi menggugat aspirasi Visi 2030 yang menjadi tonggak masa depan ekonomi negara itu. - BBC

Must Watch Video

Advertisement