WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan satu perjanjian damai dengan Iran telah dimuktamadkan, dengan menyeru agar aliran minyak global disambung semula menerusi kenyataannya, “biarkan minyak mengalir.”
Trump membuat pengumuman itu menerusi platform media sosialnya dengan menyatakan perjanjian antara Washington dan Tehran kini selesai.
Beliau turut memberi kebenaran pembukaan semula Selat Hormuz tanpa sekatan, selain mengarahkan penamatan segera sekatan tentera laut AS ke atas Iran.
“Semua kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir!” katanya.
Perjanjian itu diumumkan tidak lama selepas Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang bertindak sebagai perantara penting dalam rundingan, mengesahkan kedua-dua negara telah mencapai persetujuan bagi menamatkan konflik yang berlarutan.
Menurut Sharif, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan penamatan serta-merta dan kekal terhadap semua operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan.
Beliau turut memaklumkan bahawa majlis pemeteraian rasmi perjanjian tersebut dijadual berlangsung pada 19 Jun ini di Switzerland.
Sebagai langkah susulan, perantara antarabangsa dijangka mengadakan beberapa siri perbincangan dalam tempoh terdekat bagi memuktamadkan perincian teknikal sebelum perjanjian itu ditandatangani secara rasmi.
Perjanjian ini dilihat sebagai perkembangan penting dalam meredakan ketegangan di Asia Barat, khususnya selepas konflik berbulan-bulan yang menjejaskan laluan perdagangan utama dunia, termasuk Selat Hormuz. - Agensi