Skip to main content

Dunia

Negara BRICS ikrar kerjasama lebih kukuh dalam keselamatan makanan, pertanian digital

61677233874_FARMING.jpg
Negara BRICS juga menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh dalam piawaian dan langkah-langkah keselamatan makanan, kebersihan dan fitosanitari (SPS), serta pensijilan digital. - Gambar hiasan

JAKARTA: Negara BRICS berikrar untuk kerjasama lebih kukuh dalam keselamatan makanan, pertanian mampan dan pertanian digital, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan pertanian berasaskan satelit, bagi membina sistem pertanian yang lebih berdaya tahan.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kementerian Pertanian Indonesia memaklumkan, komitmen itu digariskan dalam deklarasi bersama yang diterima pakai pada Mesyuarat Menteri Pertanian BRICS di bawah jawatan presiden India 2026 di Indore pada 12-13 Jun.

Menurut kementerian itu, anggota BRICS bersetuju untuk meluaskan kerjasama dalam teknologi ternakan, kesihatan haiwan, perikanan dan akuakultur, serta pengurusan lepas tuai, penyimpanan, sistem rantai sejuk dan pengurangan kehilangan makanan bagi memperkukuh keselamatan makanan dan meningkatkan pendapatan petani.

“Negara BRICS juga menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh dalam piawaian dan langkah-langkah keselamatan makanan, kebersihan dan fitosanitari (SPS), serta pensijilan digital. Kerjasama sedemikian boleh membantu meningkatkan akses pasaran dan daya saing produk pertanian Indonesia di pasaran antarabangsa.

"Selain itu, ahli BRICS bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam pertanian berdaya tahan iklim, agroekologi dan pertanian regeneratif," menurut kenyataan itu.

Pemangku Ketua Pengarah Perladangan, Ali Jamil berkata, pengisytiharan itu mengesahkan komitmen BRICS untuk memperkukuh keselamatan makanan global, meningkatkan kebajikan petani kecil, wanita dan belia, serta meluaskan kerjasama dalam inovasi, teknologi, perdagangan serta pembangunan pertanian mampan.

“Bagi Indonesia, hasil mesyuarat itu membuka pelbagai peluang strategik, termasuk memperluas kerjasama dalam penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi menerusi Platform Penyelidikan Pertanian BRICS (BARP), di samping memperkukuh kerjasama dalam benih, sumber genetik, baja dan input pertanian melalui rangkaian BRICS AGRIN untuk menyokong produktiviti yang lebih tinggi dan keselamatan makanan negara,” katanya.

Kementerian itu berkata, Indonesia turut mengadakan rundingan dua hala dengan Afrika Selatan dan India di luar mesyuarat untuk meningkatkan kerjasama dalam standard kualiti dan keselamatan makanan, akses pasaran, pembinaan kapasiti dan pertanian digital.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement