ISTANBUL: Ruang udara Iran akan dibuka semula dalam empat fasa, lapor Anadolu Ajansi yang memetik pihak berkuasa penerbangan negara itu.
Fasa pertama akan membolehkan penerbangan transit disambung semula, diikuti penerbangan dari lapangan terbang di timur Iran dalam fasa kedua, menurut penyiar milik kerajaan IRIB pada Ahad.
Advertisement
Fasa ketiga akan memulihkan operasi di Lapangan Terbang Mehrabad dan Lapangan Terbang Imam Khomeini, manakala fasa keempat dan terakhir melibatkan penerbangan dari lapangan terbang di bahagian barat negara itu.
“Jualan tiket penerbangan kini digantung, dan orang ramai perlu memberi perhatian kepada … pengumuman rasmi bagi mendapatkan status terkini lapangan terbang serta pilihan pembelian tiket,” menurut IRIB yang memetik timbalan pengarah Pertubuhan Penerbangan Awam.
Tiada garis masa diberikan mengenai bila pembukaan semula itu akan bermula.
Memetik Pertubuhan Penerbangan Awam, agensi berita separa rasmi Mehr turut melaporkan pada Sabtu bahawa operasi penerbangan di lapangan terbang di seluruh negara akan dipulihkan secara berperingkat berdasarkan tahap kesiapsiagaan teknikal dan operasi pihak berkuasa tentera serta awam bagi menyambung semula perkhidmatan penerbangan penumpang.
Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran, dan Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel serta beberapa negara serantau yang menempatkan aset AS.
Perang itu ditangguhkan sejak 8 April selepas Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata selama dua minggu.
Washington dan Tehran mengadakan rundingan di Pakistan hujung minggu lalu ke arah mencapai perdamaian berkekalan, dan usaha bagi satu lagi sesi rundingan di Islamabad sedang dijalankan.
-- BERNAMA-ANADOLU