KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi atau mengamalkan sikap dwistandard terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang didapati melanggar undang-undang, meskipun individu terbabit memiliki rekod prestasi cemerlang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan contoh peristiwa pada 1998 apabila bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor tetap dihukum penjara susulan insiden memukul tahanan.
"Kita kena ingat, betapa baik pun mana-mana pegawai, dia mesti ikut peraturan. Kalau ada dakwaan-dakwaan atau tuduhan seseorang itu didera, dia (perlu) mengikut proses.
"(Ahli Parlimen) Arau tahu, (pada tahun) 1998 Ketua Polis Negara dipenjara kerana memukul seseorang.
"Apakah dia tidak ada jasa? Dia ada jasa. Jadi kita ada dua perkara, iaitu kerja mesti profesional, tapi kalau ada tindakan yang melanggar undang-undang, itu kena ikut proses," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Shahidan membangkitkan rasional pertukaran Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedangkan beliau menunjukkan prestasi cemerlang, selain mempersoalkan tindakan mengambil kira laporan polis berbanding laporan dalaman agensi berkenaan susulan penularan satu klip video keselamatan.
-- BERNAMA