AYER KEROH: Setiap kali pilihan raya, anak muda diperlukan untuk memasang bendera, mengedar risalah dan menggerakkan kempen, namun apabila mahu menjadi calon, kemampuan mereka pula dipersoalkan.
Sehubungan itu, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim membangkitkan percanggahan itu ketika mempertahankan penyertaan calon muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Menurutnya, golongan muda tidak seharusnya hanya diberikan tugas di belakang tabir, tetapi turut diberi peluang memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Mana-mana parti politik pun yang pacak bendera, pasang kain rentang, kumpul orang untuk ceramah, edar poster, suruh bergaduh dalam sosial media adalah orang muda tapi jadi calon tak boleh muda. Susahlah macam itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran manifesto 'Aspirasi Melaka Rumah Kita' oleh Pakatan Harapan (PH) di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.
Adam Adli mengakui, calon muda sering berdepan stigma termasuk dianggap kurang pengalaman dan belum cukup matang untuk menggalas tanggungjawab politik.
Bagaimanapun, beliau berpandangan penilaian terhadap calon baharu perlu mengambil kira hakikat bahawa mereka masih berada pada peringkat awal membina pengalaman.
"Jika kita tidak mulakan sekarang, maka kita tak mampu untuk bangunkan pengalaman yang lebih lengkap bagi golongan ini. Dalam lima tahun, 10 tahun akan datang mereka kita harapkan boleh kumpul pengalaman bermula pada sekarang," katanya lagi.
Menurutnya, perbezaan gaya komunikasi antara calon muda dan pemimpin lebih berpengalaman juga tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada penyertaan generasi baharu.
Beliau berkata, ruang perlu diberikan kepada anak muda untuk belajar dan membuktikan kemampuan mereka menerusi pengalaman sebenar dalam kepimpinan.
Namun, dalam masa sama, Adam Adli mengingatkan bahawa mempertaruhkan calon muda bukan jaminan sesebuah parti akan memperoleh sokongan pengundi daripada kelompok usia yang sama.
Ini kerana, jelas beliau, pilihan politik anak muda turut dipengaruhi pandangan keluarga, persekitaran masyarakat serta maklumat yang diterima melalui media sosial.
Justeru, beliau menggesa calon muda berusaha meyakinkan bukan sahaja generasi sendiri, malah pengundi lebih berusia yang mempunyai pandangan dan pengalaman berbeza.
Beliau menegaskan, penyertaan generasi muda penting bagi memastikan kepelbagaian umur dalam kalangan pengundi turut diterjemahkan melalui perwakilan politik.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi PH Negeri Melaka, Adly Zahari; Pengerusi DAP Negeri Melaka, Khoo Poay Tiong dan penyandang DUN Kesidang, Allex Seah.