Skip to main content

Teknologi

Johor muncul lokasi dua daripada 10 pusat data AI paling berkuasa dunia

Kemudahan DayOne Nusajaya berada di kedudukan keenam, manakala DayOne Kempas di tangga kelapan dalam senarai infrastruktur perkomputeran AI global tersebut. -Gambar hiasan/Reuters
Kemudahan DayOne Nusajaya berada di kedudukan keenam, manakala DayOne Kempas di tangga kelapan dalam senarai infrastruktur perkomputeran AI global tersebut. -Gambar hiasan/Reuters
Advertisement

JOHOR BAHRU: Malaysia muncul sebagai lokasi kepada dua daripada 10 pusat data kecerdasan buatan (AI) paling berkuasa di dunia, menurut data terbaharu yang diterbitkan oleh institusi penyelidikan Epoch AI, lapor Amanz.

Menurut laporan itu, kedua-dua pusat data berkenaan dibina dan beroperasi di Johor.

Kemudahan DayOne Nusajaya berada di kedudukan keenam, manakala DayOne Kempas di tangga kelapan dalam senarai infrastruktur perkomputeran AI global tersebut.

Advertisement
Image
amanz.my

Sehingga akhir Oktober 2026, kedudukan pusat data AI paling berkuasa di dunia disandang oleh superkomputer Colossus 2 yang dikendalikan oleh syarikat AI, SpaceXAI.

Laporan sama turut menunjukkan bahawa empat daripada 40 pusat data AI paling berkuasa di dunia terletak di Johor.

Advertisement

Pencapaian itu meletakkan Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai dua negara yang menempatkan semua pusat data yang tersenarai dalam kelompok 40 teratas tersebut.

Berdasarkan data yang tersedia kepada Epoch AI, kapasiti pemprosesan AI yang terletak di Malaysia dianggarkan 4.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kapasiti yang diketahui umum di China.

Bagaimanapun, angka itu merupakan anggaran bebas yang dibuat oleh Epoch AI memandangkan kerajaan China tidak mendedahkan data rasmi mengenai kapasiti pusat data AI negara itu secara terbuka.

Keupayaan pemprosesan yang tinggi di Malaysia dianggap unik kerana pasaran tempatan masih belum memiliki syarikat AI yang berperanan sebagai pemain utama pada skala global.

Laporan oleh The New York Times pada hujung minggu lalu mendedahkan bahawa sebahagian pusat data AI di Malaysia digunakan oleh syarikat teknologi China seperti ByteDance.

Langkah itu membolehkan syarikat berkenaan mengakses cip berprestasi tinggi NVIDIA yang tertakluk kepada sekatan eksport ketat oleh Amerika Syarikat terhadap China.

Must Watch Video

Advertisement