TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) umum akan melancarkan serangan menyasarkan pejabat 18 syarikat gergasi global yang didakwa membantu operasi ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel.
Antara syarikat yang dinamakan sebagai sasaran utama termasuk Apple, Google, Meta, Microsoft, Intel, NVIDIA, Oracle, Tesla dan Boeing, lapor Times of Israel dan Politico.
Advertisement
Menerusi kenyataan rasmi tersebut, IRGC mendakwa syarikat-syarikat berkenaan terlibat dalam aktiviti yang menyokong serangan ke atas Iran sepanjang konflik di Asia Barat yang kini berlarutan lebih sebulan.
Serangan dilaporkan akan bermula pada jam 8 malam waktu Tehran (12.30 tengah malam waktu Malaysia) hari ini.
Sasaran merangkumi pejabat syarikat-syarikat tersebut yang terletak di Baitulmuqaddis, Tel Aviv dan Abu Dhabi, yang berada dalam jangkauan peluru berpandu balistik milik Iran.
Pihak IRGC menegaskan bahawa mana-mana institusi yang terlibat dalam aktiviti yang dianggap sebagai keganasan akan dikategorikan sebagai sasaran yang sah.
Sehubungan itu, mereka menasihatkan semua pekerja di premis terlibat untuk segera meninggalkan tempat kerja bagi melindungi nyawa masing-masing.
Selain itu, penduduk yang berada dalam lingkungan satu kilometer dari pejabat syarikat-syarikat yang dinamakan turut digesa berpindah ke lokasi yang lebih selamat.
Perkembangan terbaharu ini menandakan fasa baharu peperangan di Asia Barat yang kini mula beralih arah kepada entiti korporat dan teknologi global.