Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Lapangan Terbang Khorramabad dilaporkan diserang AS, Israel

US-Israeli strikes also targeting Khorramabad Airport in western Iran. Image shows strikes against an Iranian Space Research Center in Tehran._X @SyedHam02499189
Pihak berkuasa tempatan kini sedang menjalankan penilaian menyeluruh tahap kerosakan struktur, termasuk kesan serangan terhadap infrastruktur lapangan terbang dan kawasan sekitarnya. -Foto X @SyedHam02499189

KHORRAMABAD: Lapangan Terbang Khorramabad di barat Iran dilaporkan menjadi sasaran serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel, hari ini.

Agensi berita Mehr melaporkan kemudahan di wilayah Lorestan itu dibedil dalam satu operasi bersama, yang turut menyaksikan letupan dilaporkan di beberapa lokasi lain termasuk Tehran dan Qom.

Advertisement

Timbalan Gabenor wilayah Lorestan mengesahkan berlaku pengeboman di kawasan berkenaan, namun berkata laporan awal tidak merekodkan sebarang kematian setakat ini.

Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan kini sedang menjalankan penilaian menyeluruh tahap kerosakan struktur, termasuk kesan serangan terhadap infrastruktur lapangan terbang dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, media rasmi Iran melaporkan serangan udara di wilayah sama turut menjejaskan infrastruktur komunikasi di daerah pedalaman Selseleh dan Delfan, sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan telekomunikasi.

Serangan berkenaan dipercayai sebahagian daripada siri serangan udara yang diperhebat oleh AS dan Israel terhadap beberapa lokasi strategik di utara dan barat Iran sejak awal pagi tadi.

Media antarabangsa berbahasa Turkiye pula melaporkan operasi ketenteraan tersebut berlaku dalam konteks ketegangan serantau yang semakin memuncak, susulan serangan peluru berpandu Iran ke arah beberapa bandar di tengah Israel sebelum ini.

Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan butiran penuh mengenai jumlah kerosakan material akibat serangan berkenaan.

Komuniti antarabangsa terus memantau rapat perkembangan di Asia Barat, ketika situasi keselamatan di rantau itu dilaporkan semakin meruncing.

Must Watch Video