BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kini dilihat berada di laluan bertembung dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump susulan persetujuan Washington dan Tehran untuk menghentikan perang yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Netanyahu sebelum ini dilaporkan menyokong usaha ketenteraan bersama Trump dengan harapan ia dapat melemahkan kepimpinan Iran serta mengukuhkan kedudukannya di dalam negara menjelang pilihan raya.
Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan kedua-dua pemimpin kini mempunyai matlamat berbeza, apabila Trump berusaha menghentikan konflik manakala operasi ketenteraan Israel masih berterusan, khususnya di Lubnan.
Perbezaan itu mencetuskan ketegangan dalam hubungan kedua-dua sekutu rapat tersebut, apabila pegawai Israel secara tertutup meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perjanjian awal antara AS dan Iran.
Mereka menyifatkan persetujuan itu sebagai tidak menguntungkan Israel, malah berpendapat ia gagal menangani kebimbangan utama negara itu, termasuk berkaitan program nuklear Iran.
Menurut perancangan Washington, tempoh gencatan senjata selama 60 hari akan digunakan untuk merundingkan syarat lebih menyeluruh bagi menangani isu-isu keselamatan, namun pihak Israel bimbang tempoh itu mungkin dilanjutkan tanpa penyelesaian jelas.
Keadaan ini dilihat boleh menyekat kebebasan tindakan ketenteraan Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kepimpinan negara tersebut.
Ketegangan antara Netanyahu dan Trump bukan perkara baharu, apabila kedua-duanya sebelum ini sudah beberapa kali berselisih pandangan berhubung tindakan Israel terhadap kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan.
Dalam satu insiden yang dilaporkan, Trump pernah menyuarakan kemarahannya kepada Netanyahu dan mengarahkan supaya serangan ke atas Beirut dihentikan ketika AS sedang berusaha mencapai perjanjian dengan Iran.
Walaupun arahan itu dipatuhi pada awalnya, Israel kemudian kembali melancarkan serangan yang mencetuskan tindak balas peluru berpandu dari Iran serta kritikan terbuka daripada Washington.
Tidak lama sebelum pengumuman perjanjian antara AS dan Iran, Israel sekali lagi melancarkan serangan ke atas Beirut susulan pelancaran roket dari wilayah Lebanon ke arah Israel.
Dalam pada itu, Trump dilaporkan mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak perlu ketika usaha damai sedang dirundingkan.
Netanyahu bagaimanapun menegaskan Israel akan terus mempertahankan kepentingan keselamatannya, walaupun mengakui terdapat perbezaan pandangan antara beliau dan Trump dalam beberapa perkara.
Perkembangan ini menandakan perbezaan ketara antara Washington dan Tel Aviv dalam menangani konflik serantau, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Israel akan mematuhi sepenuhnya perjanjian yang dicapai antara AS dan Iran. - Agensi