KAHERAH: Kementerian Dalam Negeri Iraq pada Isnin mengesahkan bahawa sebuah dron telah menghentam sebuah hotel di Baghdad, namun insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan mahupun kerosakan ketara.
Menurut kenyataan kementerian, pemeriksaan awal mendapati dron tersebut mengenai pagar atas bumbung Hotel Al‑Rasheed, yang terletak di Zon Hijau, kawasan paling berkawal di Baghdad yang menempatkan bangunan kerajaan serta beberapa kedutaan asing, termasuk Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Advertisement
Sumber keselamatan sebelum ini memberitahu bahawa asap dan api kelihatan naik dari kawasan hotel, menyebabkan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan lebih besar.
Rakaman dan saksi Reuters turut melaporkan kejadian letupan kecil berhampiran kawasan diplomatik.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati insiden itu hanya melibatkan serangan pada struktur pagar atas hotel tanpa menyebabkan kecederaan kepada orang awam atau kakitangan.
Kementerian itu turut mengecam sebarang percubaan untuk mensasarkan wakil diplomatik di Iraq.
Sumber keselamatan Iraq turut melaporkan bahawa dua roket Katyusha telah ditembakkan ke arah Kedutaan AS di Zon Hijau pada waktu hampir sama.
Tiada laporan kecederaan dikeluarkan setakat ini, tetapi operasi keselamatan ditingkatkan susulan beberapa siri serangan terhadap sasaran berkaitan AS di Iraq sejak bermulanya konflik Iran-AS-Israel.