TEHRAN: Kawasan sekitar Hospital Baghaei di bandar Ahvaz, barat daya Iran, dilaporkan terkena serangan peluru berpandu, menurut seorang pegawai Kementerian Kesihatan Iran.
Ketua Perhubungan Awam kementerian itu, Hossein Kermanpour, berkata letupan kuat dan gegaran yang berlaku akibat serangan berkenaan mencetuskan panik dalam kalangan pesakit serta ahli keluarga mereka.
Dalam hantaran di platform X, beliau berkata beberapa pesakit kanser dan waris mereka bertindak meninggalkan hospital selepas dikejutkan dengan bunyi letupan serta gegaran yang kuat.
Menurut Kermanpour, serangan itu mengenai kawasan di sekitar Hospital Baghaei, namun beliau tidak memberikan maklumat lanjut mengenai tahap kerosakan atau jumlah mangsa yang terlibat.
Setakat ini, pihak berkuasa Iran masih belum mengeluarkan laporan rasmi berhubung sebarang kematian atau kecederaan akibat insiden tersebut.
Ahvaz merupakan ibu negeri Khuzestan dan terletak di barat daya Iran, berhampiran sempadan Iraq.
Bandar itu menempatkan beberapa kemudahan penting termasuk pusat perubatan dan infrastruktur berkaitan tenaga.
Siasatan lanjut mengenai insiden berkenaan sedang dijalankan.