ISTANBUL: Tentera Amerika Syarikat (AS) telah “mengurangkan dengan ketara” stok misil utamanya sepanjang perang di Iran dan berdepan kemungkinan kekurangan dalam konflik pada masa depan, lapor Anadolu Ajansi, memetik laporan CNN pada Selasa.
Sepanjang tujuh minggu peperangan, tentera AS telah menggunakan kira-kira 45 peratus daripada Misil Serangan Berketepatan (PrSM), sekurang-kurangnya separuh daripada pemintas THAAD, dan hampir 50 peratus daripada misil pertahanan udara Patriot, menurut analisis baharu oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).
Advertisement
Angka itu hampir menyamai anggaran sulit Pentagon, menurut laporan tersebut.
Tentera AS juga telah menggunakan kira-kira 30 peratus daripada misil Tomahawk, lebih 20 peratus Misil Jarak Jauh Bersepadu Udara-ke-Permukaan (JASSM), dan kira-kira 20 peratus daripada misil SM-3 dan SM-6, lapor agensi itu.
Walaupun Pentagon menandatangani kontrak awal tahun ini bagi meningkatkan pengeluaran peluru berpandu, pengisian semula sistem berkenaan masih dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun walaupun dengan peningkatan kapasiti pengeluaran.
Dalam tempoh terdekat, AS berkemungkinan masih mempunyai peluru mencukupi untuk mengekalkan operasi terhadap Iran sekiranya gencatan senjata yang rapuh gagal dipertahankan, menurut laporan itu.
Bagaimanapun, stok senjata utama kini tidak mencukupi untuk menghadapi konflik dengan kuasa setara seperti China, dan usaha memulihkannya ke tahap sebelum perang dijangka mengambil masa beberapa tahun, menurut laporan itu.
“Penggunaan peluru dalam jumlah tinggi telah mewujudkan ruang kelemahan yang meningkat di Pasifik Barat,” kata Mark Cancian, seorang kolonel Kor Marin AS yang telah bersara dan seorang daripada penulis laporan CSIS, kepada CNN.
“Ia akan mengambil masa antara satu hingga empat tahun untuk mengisi semula inventori ini dan beberapa tahun lagi selepas itu untuk meningkatkannya ke tahap yang diperlukan,” katanya.
Dalam kenyataan kepada CNN, ketua jurucakap Pentagon Sean Parnell berkata tentera “mempunyai segala yang diperlukan untuk melaksanakan operasi pada masa dan tempat pilihan Presiden.”
“Sejak Presiden (Donald) Trump memegang jawatan, kami telah melaksanakan beberapa operasi yang berjaya merentasi pelbagai markas pemerintahan tempur sambil memastikan tentera AS memiliki keupayaan yang kukuh untuk melindungi rakyat serta kepentingan kami,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU