ISTANBUL: Iran menyatakan transit maritim melalui Selat Hormuz akan tertakluk kepada peraturan baharu yang ditetapkan oleh Tehran, sambil menambah bahawa syarat berkaitan konflik itu telah disampaikan kepada pihak pengantara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi berkata di platform media sosial X, laluan yang menelusuri selat itu kini bergantung kepada syarat Iran, sambil menyatakan tempoh puluhan tahun yang disifatkannya sebagai “bertolak ansur” telah berakhir.
Advertisement
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmail Baghaei berkata, konflik itu memberi kesan secara langsung terhadap keselamatan serantau termasuk Selat Hormuz, Teluk Parsi dan Laut Oman, sambil memberi amaran mengenai kesan yang lebih luas terhadap ekonomi global.
Dalam kenyataan kepada agensi berita Yonhap, Baghaei berkata kapal milik pihak yang tidak bermusuhan masih boleh melalui selat itu tertakluk kepada penyelarasan yang diperlukan dengan pihak berkuasa Iran, sambil menegaskan bahawa langkah itu bertujuan memastikan laluan selamat.
-- BERNAMA-ANADOLU