WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa Israel berisiko berdepan Iran secara bersendirian sekiranya ketegangan antara kedua-dua pihak terus memuncak.
Dalam wawancara dengan media Israel, Trump berkata, beliau telah menasihatkan Netanyahu supaya berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
“Saya beritahu Bibi (panggilan buat Netanyahu), lebih baik kamu berhati-hati dengan apa yang kamu lakukan, kerana kamu mungkin akan berdepan sendirian dengan Iran dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut laporan, Netanyahu juga tidak memaklumkan kepada Trump mengenai keputusan muktamad untuk melancarkan serangan ke atas Iran sehingga ke peringkat akhir perancangan.
Trump sebelum itu dilaporkan meminta Netanyahu supaya tidak menyerang Iran sebagai tindak balas terhadap serangan yang berlaku susulan operasi ketenteraan Israel di Beirut, Lubnan.
Bagaimanapun, perbualan antara kedua-dua pemimpin itu berakhir tanpa sebarang persetujuan dan Netanyahu tidak berkongsi keputusan akhirnya dengan Trump.
Selepas itu, Netanyahu dipercayai memaklumkan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengenai keputusan untuk meneruskan serangan terhadap Iran.
Trump dalam wawancara sama turut mendakwa, beliau berjaya mengurangkan skala serangan berkenaan selain menegaskan kebimbangannya terhadap kemungkinan konflik itu berkembang menjadi perang berskala penuh. - Agensi