KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mendapati beberapa keputusan penting institusi itu termasuk berkaitan agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) dipengaruhi unsur politik.
Menurut laporan yang diterbitkan hari ini, penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH antara 2014 hingga 2018 telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat serta membuka ruang kepada campur tangan politik dalam proses membuat keputusan.
RCI berkata Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) memberi kuasa yang terlalu luas kepada Menteri, termasuk dalam urusan pelantikan anggota Lembaga, pengurusan dana, pelaburan dan pengisytiharan hibah.
Suruhanjaya turut berpandangan ketiadaan kriteria khusus bagi pelantikan anggota Lembaga menyebabkan beberapa individu yang aktif dalam politik dilantik ke jawatan penting dalam TH sepanjang tempoh siasatan.
Sehubungan itu, RCI mengesyorkan pindaan undang-undang dibuat bagi melarang ahli politik aktif daripada dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH serta anak syarikatnya.
Audit Negara turut ditegur
Dalam laporan sama, RCI turut mengkritik pendekatan Jabatan Audit Negara (JAN) ketika mengaudit penyata kewangan TH bagi tahun kewangan 2017.
Menurut Suruhanjaya, walaupun audit berkenaan membangkitkan beberapa isu penting menerusi penekanan khas atau Emphasis of Matter, TH masih menerima Sijil Audit Bersih.
RCI berpandangan perkara yang dibangkitkan dalam audit berkenaan sepatutnya diklasifikasikan sebagai ketidakpatuhan yang lebih serius, sekali gus menghalang TH daripada mengisytiharkan hibah pada kadar yang tinggi ketika kedudukan kewangannya berada dalam keadaan tertekan.
Suruhanjaya turut menyatakan JAN tidak sepatutnya mempertimbangkan faktor di luar skop audit ketika membuat penilaian terhadap penyata kewangan TH.
Menurut laporan itu, tanpa Sijil Audit Bersih, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan hibah tahunan sebanyak 4.5 peratus dan hibah haji 1.75 peratus bagi tahun kewangan 2017 yang melibatkan pembayaran kira-kira RM2.75 bilion.
Syor reformasi tadbir urus
RCI berpandangan kelemahan tadbir urus, campur tangan politik dan kekurangan mekanisme semak dan imbang antara faktor yang menyumbang kepada kemelut kewangan TH sebelum pelaksanaan pelan pemulihan pada 2018.
Bagi mengelakkan perkara sama berulang, Suruhanjaya mengesyorkan supaya pelantikan anggota Lembaga dibuat berdasarkan kelayakan profesional, selain mewujudkan badan penasihat bebas bagi menilai pelantikan dan penamatan jawatan dalam TH.
RCI turut menegaskan pengurusan dana dan pelaburan TH perlu diurus secara profesional serta bebas daripada pengaruh politik demi melindungi kepentingan pendeposit dan memastikan kelestarian institusi itu pada masa hadapan.
Untuk rekod, RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan beberapa penemuan yang dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.
Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bersama lima lagi pesuruhjaya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan 2022.
RCI diberikan tempoh enam bulan untuk menjalankan siasatan sebelum menyiapkan laporan akhirnya pada 19 Julai 2022 dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos tahun sama.