DUNIA
Konsert di Berlin peringati kanak-kanak yang terkorban di Gaza

Orang ramai menonton pemuzik membuat persembahan sempena konsert muzik klasik berskala besar tanda solidariti terhadap Palestin sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia di Gendarmenmarkt, Berlin, Jerman, pada Sabtu. - Gambar Reuters
BERLIN: Sekumpulan pemuzik Jerman dan antarabangsa mengadakan satu konsert muzik klasik di Berlin pada Sabtu sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, bertujuan menarik perhatian terhadap nasib kanak-kanak yang terkorban di Semenanjung Gaza akibat genosid, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut penganjur inisiatif Muzik untuk Kemanusiaan, konsert amal itu menjadikan Berlin sebagai "satu ruang solidariti, kemanusiaan dan muzik."
Konsert berkenaan menampilkan pemuzik profesional dan amatur mempersembahkan muzik klasik dan muzik tradisional Arab.
Sementara itu, inisiatif Muzik untuk Kemanusiaan turut menggesa gencatan senjata segera, perlindungan terhadap kanak-kanak dan orang awam di Gaza, serta penghentian penghantaran senjata Jerman ke Israel.Acara itu turut disertai pameran potret kanak-kanak Gaza.
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih 50,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera sejak 7 Okt 2023 apabila Israel melancarkan serangan genosid ke atas Gaza yang meragut lebih 65,000 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Selain itu, ratusan ribu kanak-kanak Palestin kini menderita kekurangan zat makanan di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, susulan Israel terus menyekat kemasukan makanan dan bantuan kemanusiaan lain ke wilayah yang diserang itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami