Skip to main content

Dunia

Korea Selatan: Bekas PM Kim dipilih ketua baharu Parti Demokratik

71760519436_TBKimMinseok.jpg
Kim Min-seok memperoleh 54.08 peratus undi, menewaskan Ahli Parlimen Jung Chung-rae yang berusaha mempertahankan jawatan ketua DP bagi penggal kedua berturut-turut - Foto fail/AP
Advertisement

SEOUL: Bekas Perdana Menteri Kim Min-seok dipilih sebagai ketua baharu Parti Demokratik (DP) yang memerintah pada Isnin, menerajui parti itu dalam usaha melaksanakan agenda perundangan Presiden Lee Jae Myung serta membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya Parlimen 2028, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kim memperoleh 54.08 peratus undi, menewaskan Ahli Parlimen Jung Chung-rae yang berusaha mempertahankan jawatan ketua DP bagi penggal kedua berturut-turut, pada konvensyen kebangsaan parti itu yang diadakan di bandar Daejeon di tengah Korea Selatan. Jung, bekas ketua parti itu, memperoleh 45.92 peratus daripada keseluruhan undi.

“Parti ini akan berusaha demi kejayaan Presiden Lee Jae Myung dan pentadbirannya,” kata Kim dalam ucapan penerimaannya.

“Hubungan antara parti dan pejabat presiden akan menjadi perkongsian mendatar yang kreatif berasaskan kerjasama penuh dan sokongan kepada presiden serta kerajaan,” katanya.

Ketua baharu parti itu turut berikrar melakukan perubahan menyeluruh dari segi “bahasa, dasar, sikap dan budaya”.

Kim, sekutu politik utama presiden, meletakkan jawatan sebagai perdana menteri awal tahun ini untuk bertanding merebut jawatan ketua parti.

Pemilihannya dijangka mengukuhkan penguasaan Lee terhadap parti pemerintah, selepas Kim berikrar untuk mewujudkan “penjajaran sepenuhnya” antara parti dan pejabat presiden ketika berkempen.

Memandangkan tiada seorang pun daripada tiga calon memperoleh majoriti pada pusingan awal, pemenang ditentukan mengikut sistem pengundian pilihan berasaskan kedudukan yang baharu diterima pakai oleh parti itu, dengan pengundi menyusun calon mengikut urutan pilihan pada kertas undi mereka.

Pemilihan pada Isnin itu turut menjadi kali pertama pemilihan ketua DP diadakan menggunakan sistem satu orang, satu undi. Undi daripada perwakilan parti dan anggota parti yang membayar yuran menyumbang 70 peratus daripada keputusan akhir, manakala undi orang awam menyumbang baki 30 peratus.

DP kini menguasai 161 daripada 300 kerusi Parlimen, memberikan parti itu jumlah kerusi yang mencukupi untuk meluluskan undang-undang tanpa sokongan pembangkang.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 

Must Watch Video

Advertisement