Skip to main content
Advertisement

Dunia

Korea Selatan berang, tuntut Ukraine mohon maaf isu tahanan perang Korea Utara

South Korean national flags flutter in the wind at the government complex in Seoul, South Korea, on Feb 27, 2025. (File photo: AP/Lee Jin-man)
Seoul menyesali tindakan Ukraine mendedahkan maklumat berkenaan serta kenyataan susulan yang menafikan wujudnya persetujuan untuk merahsiakan pemindahan tersebut. - Gambar fail/ AP
Advertisement

SEOUL: Korea Selatan menuntut penjelasan rasmi dan permohonan maaf daripada Ukraine selepas mendakwa Kyiv mendedahkan pemindahan dua tahanan perang Korea Utara ke negara itu sebelum menafikan kewujudan perjanjian kerahsiaan antara kedua-dua pihak.

Pejabat Presiden Korea Selatan dalam kenyataan pada Ahad menyuarakan kekesalan terhadap tindakan Ukraine yang didakwa membuat pendedahan secara unilateral berhubung perkara tersebut.

Setiausaha Kanan Presiden bagi Perhubungan Awam, Seong Ghi-hong berkata, Seoul menyesali tindakan Ukraine mendedahkan maklumat berkenaan serta kenyataan susulan yang menafikan wujudnya persetujuan untuk merahsiakan pemindahan tersebut.

Menurutnya, kerajaan Korea Selatan sedang mempertimbangkan langkah tambahan jika perlu susulan isu itu.

Seong menjelaskan, Ukraine sebelum ini berulang kali berbincang dengan Seoul melalui pelbagai saluran mengenai pemindahan dua tahanan perang tersebut dan turut meminta perkara itu dirahsiakan.

Katanya, Kyiv bimbang pendedahan awal boleh mencetuskan kritikan domestik bahawa Ukraine telah melepaskan peluang menukar dua tentera Korea Utara itu dengan tawanan perang Ukraine yang ditahan pihak lawan.

Atas pertimbangan keselamatan, diplomatik dan kemanusiaan, Korea Selatan bersetuju mengekalkan kerahsiaan pemindahan itu, termasuk demi keselamatan kedua-dua tahanan berkenaan serta ahli keluarga mereka yang masih berada di Korea Utara.

Bagaimanapun, menurut Seoul, Ukraine kemudiannya mendedahkan perkara itu dalam ucapan Presiden Volodymyr Zelenskyy di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa rundingan terlebih dahulu yang mencukupi.

Lebih memburukkan keadaan, Ukraine selepas itu didakwa menafikan kewujudan sebarang perjanjian kerahsiaan antara kedua-dua negara.

Seong berkata, tindakan tersebut telah menjejaskan kepercayaan antara kedua-dua kerajaan dan berpotensi memberi kesan terhadap hubungan dua hala.

Setakat ini, Kedutaan Ukraine di Seoul belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Minggu lalu, Zelenskyy memberitahu Perhimpunan Agung PBB bahawa Ukraine telah memindahkan dua anggota tentera Korea Utara yang ditawan ke Korea Selatan.

Beliau berkata, kedua-dua individu itu dihantar ke negara tersebut selepas ditangkap ketika berjuang bersama tentera Rusia dalam perang menentang Ukraine.

Beberapa hari sebelum itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung turut mendakwa Ukraine melanggar perjanjian kerahsiaan apabila mendedahkan pemindahan terbabit.

Dalam hantaran di platform X, Lee berkata, keputusan untuk tidak mengumumkan perkara itu kepada umum adalah tindakan yang paling wajar memandangkan implikasi yang mungkin timbul.

"Saya tidak mengetahui keadaan yang mendorong pihak Ukraine mendedahkan perkara ini walaupun terdapat perjanjian kerahsiaan, namun perkara itu amat dikesali," katanya.

Dua anggota tentera Korea Utara itu ditangkap oleh Ukraine di wilayah Kursk, Rusia pada Januari 2025.

Mereka merupakan tentera Korea Utara pertama yang ditawan hidup-hidup sejak Pyongyang mula terlibat dalam konflik itu pada 2024 dengan membantu operasi ketenteraan Rusia.

Sebelum ini, Korea Selatan enggan mengesahkan ketibaan kedua-dua mereka atas faktor keselamatan, termasuk kebimbangan terhadap nasib ahli keluarga mereka yang masih berada di Korea Utara.

Seorang ahli politik pembangkang di Seoul sebelum ini mendedahkan bahawa Korea Selatan dan Ukraine telah berbincang mengenai kemungkinan pemindahan tersebut selepas kedua-dua tentera itu menyatakan hasrat untuk menetap di Korea Selatan.

Pemindahan itu berlaku ketika Seoul berusaha menghidupkan semula dialog dengan Pyongyang, manakala Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut menyatakan kesediaan untuk kembali berunding dengan Korea Utara. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement