SEOUL: Kerajaan Korea Selatan akan membenarkan semula penyelidik kecerdasan buatan (AI) memenuhi kewajipan perkhidmatan tentera menerusi penempatan di makmal penyelidikan syarikat konglomerat utama bermula 2027, sekali gus membuka semula skim alternatif yang ditamatkan sejak 2013.
Langkah itu diambil bagi memperkukuh daya saing industri tempatan serta mengurangkan penghijrahan bakat teknologi ke luar negara.
Menerusi program Kakitangan Penyelidikan Khusus (Specialized Research Personnel), penyelidik dalam bidang sains dan kejuruteraan yang memiliki kelayakan sarjana atau doktor falsafah (PhD) dibenarkan menggantikan khidmat ketenteraan konvensional dengan menjalankan penyelidikan selama tiga tahun di institusi yang diluluskan kerajaan.
Menurut Kementerian Sains dan ICT Korea Selatan, empat syarikat iaitu LG Electronics, Samsung Electronics, Samsung Medison dan HD Hyundai Robotics telah disyorkan kepada Pentadbiran Tenaga Manusia Tentera (Military Manpower Administration, MMA) untuk menyertai program bagi tempoh 2027 hingga 2029.
Bagaimanapun, sembilan makmal penyelidikan di bawah empat syarikat itu hanya memohon 81 penempatan berbanding kuota maksimum 120 slot setahun yang diperuntukkan kepada sektor korporat besar berikutan syarat kelayakan yang ketat.
Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan 240 jawatan perkhidmatan alternatif kepada penyelidik AI peringkat sarjana bagi 2027.
Daripada jumlah itu, 120 penempatan diperuntukkan kepada syarikat korporat manakala baki 120 lagi diagihkan kepada institut penyelidikan tajaan kerajaan, universiti dan industri pertahanan.
Sebelum ini, penempatan baharu penyelidik alternatif di syarikat konglomerat besar dihentikan pada 2013 bagi memberi keutamaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membangunkan kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Bagi melayakkan diri di bawah dasar baharu itu, syarikat besar perlu membelanjakan sekurang-kurangnya lima peratus daripada hasil tahunan untuk aktiviti R&D selain membuktikan operasi mereka tidak bersaing secara langsung dengan PKS.
Ahli Parlimen Hwang Jung-a daripada Parti Demokratik Korea menyambut baik langkah berkenaan, namun menggesa pihak berkuasa menilai semula sebahagian syarat kelayakan bagi memastikan program pembangunan bakat itu memberi manfaat yang lebih meluas kepada kemajuan teknologi strategik negara.