SEOUL: Jumlah kes penyakit berkaitan haba yang dilaporkan pada penghujung musim panas meningkat hampir tiga kali ganda sepanjang 10 tahun lepas, lapor Agensi Berita Yonhap memetik data kerajaan pada Sabtu.
Menurut analisis sebuah institut penyelidikan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang menggunakan data Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), purata tahunan seramai 215 pesakit berkaitan haba dilaporkan dari tempoh “ipchu” hingga akhir Ogos antara 2011 dan 2015.
Ipchu, yang jatuh pada 7 Ogos tahun ini, menandakan permulaan musim luruh mengikut kalendar tradisional.
Kematian akibat penyakit berkaitan haba turut meningkat dalam tempoh sama, daripada purata tahunan 3.3 kematian antara 2012 dan 2015 kepada lebih empat kematian setahun sepanjang sedekad dari 2016 hingga 2025.
Pada 2024 sahaja, seramai 1,299 orang mengalami penyakit berkaitan haba dan 12 daripadanya meninggal dunia dalam tempoh dari ipchu hingga penghujung Ogos.
Gelombang haba dijangka berterusan sehingga akhir Ogos tahun ini, dengan suhu maksimum pada waktu siang diramal antara 31 hingga 35 darjah Celsius di seluruh negara.
Pada Jumaat sahaja, seramai 202 orang menerima rawatan di unit kecemasan di seluruh negara akibat penyakit berkaitan haba, dengan tiga daripada mereka meninggal dunia, menurut KDCA.
Kerajaan mengendalikan sistem pemantauan penyakit berkaitan haba sejak 15 Mei.
Di bawah sistem itu, sebanyak 3,089 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan termasuk 26 kematian.
-- BERNAMA-YONHAP