SEOUL: Korea Selatan sedang menjalankan penelitian menyeluruh terhadap langkah praktikal bagi memastikan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik kenyataan pejabat presiden pada Rabu.
Pejabat presiden membuat kenyataan itu sebagai mengulas laporan akhbar Dong-A Ilbo bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meminta kerajaan Korea Selatan mengerahkan sebuah kapal perang ke laluan perairan strategik itu susulan konflik yang kembali memuncak antara AS dan Iran.
Pejabat Presiden menafikan bahawa kerajaan menerima permintaan daripada AS untuk mengerahkan aset ketenteraan tertentu, namun memaklumkan yang kedua-dua negara terus mengadakan perbincangan mengenai kerjasama berkaitan perkara itu.
"(Kerajaan) sedang meneliti secara menyeluruh pelbagai kaedah untuk menyumbang secara praktikal kepada (usaha memastikan) kebebasan pelayaran di Selat Hormuz dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk tahap kesiapsiagaan (pertahanan) di Semenanjung Korea serta prosedur perundangan domestik," menurut pejabat itu.
Dalam taklimat media selepas itu, Penasihat Keselamatan Negara, Wi Sung-lac berkata, tiada sebarang permintaan baharu daripada AS berhubung Selat Hormuz, termasuk permintaan untuk mengerahkan kapal perang atau mengambil tindakan tertentu.
"(Sungguhpun begitu, kerajaan) sedang meneliti pelbagai pilihan bagi membolehkan sumbangan praktikal diberikan," kata Wi sambil menegaskan bahawa Seoul "komited sepenuhnya" terhadap usaha berkenaan.
Sementara itu, merujuk kepada isu diplomatik yang sedang berlangsung dengan AS berhubung siasatan Seoul terhadap syarikat gergasi e-dagang yang tersenarai di AS, Coupang, susulan kebocoran data berskala besar, penasihat keselamatan negara itu sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak mengendalikan siasatan itu secara diskriminasi atau menyasarkan mana-mana syarikat tertentu.
-- BERNAMA-YONHAP