Skip to main content

Dunia

Korea Utara didakwa lancar peluru berpandu balistik ke arah pantai timur

71632892552_koreautara.jpg
Peluru berpandu balistik jarak pendek itu dikesan dilancarkan dari kawasan pesisir pantai Wonsan sekitar jam 3 petang waktu tempatan. -Gambar fail
Advertisement

SEOUL: Korea Utara didakwa telah melancarkan satu peluru berpandu balistik ke arah perairan pantai timurnya hari ini, sekali gus menandakan ujian peluru berpandu kedua oleh Pyongyang dalam tempoh kira-kira seminggu.

Ketua Turus Bersama (JCS) Tentera Korea Selatan berkata peluru berpandu balistik jarak pendek itu dikesan dilancarkan dari kawasan pesisir pantai Wonsan sekitar jam 3 petang waktu tempatan.

Kementerian Pertahanan Jepun turut mengesahkan senjata berkenaan merupakan peluru berpandu balistik, manakala penyiar awam NHK melaporkan ia jatuh di perairan antarabangsa di luar Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Jepun.

Susulan pelancaran itu, Majlis Keselamatan Negara (NSC) Korea Selatan mengecam tindakan berkenaan yang berlaku selepas siri ujian peluru berpandu balistik jarak dekat oleh Korea Utara pada 12 Sept lalu.

NSC turut menggesa Pyongyang menghentikan aktiviti pembangunan peluru berpandu yang menurut Seoul melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Pada Sabtu, jurucakap Korea Utara menolak resolusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mengkritik program pembangunan senjata nuklear negara itu.

Pyongyang sebelum ini turut mengecam latihan ketenteraan laut yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melibatkan Korea Selatan dan Jepun di sekitar perairan Guam.

Sementara itu, Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, pada Jumaat menyalahkan latihan ketenteraan yang diketuai Washington sebagai punca peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea.

Beliau turut menegaskan Korea Utara tidak berhasrat mengubah doktrin strategiknya dan akan terus memperkukuh keupayaan nuklearnya.

Must Watch Video

Advertisement