Ringkasan AI
- Jumlah pemegang permit kelulusan (AP) terbuka meningkat kepada 414 syarikat berbanding 107 pada 2019 selepas peluasan penyertaan usahawan Bumiputera.
- Dasar AP terbuka yang ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai 2024 bertujuan memperluas peluang kepada usahawan Bumiputera termasuk yang tiada pengalaman automotif.
- Kerajaan memperuntukkan RM30 juta kepada MIDF untuk kemudahan pembiayaan modal kerja antara RM1 juta hingga RM3 juta kepada usahawan terlibat.
KUALA LUMPUR: Jumlah pemegang permit kelulusan (AP) terbuka meningkat kepada 414 syarikat setakat hari ini, berbanding 107 pada 2019, sejak kerajaan memperluas penyertaan usahawan Bumiputera dalam industri automotif negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penambahbaikan dasar AP terbuka berkuat kuasa pada 1 Julai 2024 itu bertujuan memperluas peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera, termasuk syarikat yang tidak mempunyai pengalaman terdahulu dalam industri automotif.
Beliau berkata MITI turut melaksanakan proses saringan terhadap pemohon AP terbuka bagi memastikan hanya syarikat yang mempunyai keupayaan dan kemampuan kewangan menjalankan perniagaan yang diberikan kelulusan itu.
"Ada juga sebahagian daripada mereka yang telah mendapat AP, kita batalkan (AP) kerana amalan Ali Baba. Jadi, pemeriksaan untuk meluluskan mereka ini dilakukan dengan begitu teliti.
"Ada 28 industri di Malaysia, jadi bagaimana kita nak berikan (AP) untuk industri yang penting kepada sesiapa sahaja? Akhirnya kita juga perlu menjaga industri tersebut supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan," katanya semasa sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kerajaan mengkaji semula Dasar Permit Kelulusan (AP) untuk membela usahawan Bumiputera biasa dan bukan membesarkan kekayaan sesetengah pengusaha.
Selain itu, Johari berkata kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan berkenaan.
Katanya, permohonan pembiayaan itu melibatkan keperluan modal kerja berjumlah antara RM1 juta hingga RM3 juta, bergantung kepada keperluan syarikat.
"Ramai juga mereka yang ada kaliber, muda, tetapi tidak mempunyai rakan kongsi dan modal. Jadi, mereka mencari rakan kongsi untuk menjalankan perniagaan.
"Mereka ini sebenarnya mempunyai kemahiran menjual kereta dan ada bina hubungan dengan pelanggan. (Jadi) kita akan bantu mereka," katanya.
-- BERNAMA