SEOUL: Korea Utara menolak gesaan antarabangsa supaya menghentikan sebarang ujian nuklear, malah menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai “provokasi politik yang serius” terhadap negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar Korea Utara pada Khamis berkata, kenyataan tersebut didalangi oleh “kuasa-kuasa bermusuhan” yang terus memberi tekanan terhadap Pyongyang.
Reaksi itu susulan kenyataan yang dikeluarkan pada mesyuarat menteri-menteri negara anggota Friends of the Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty (CTBT), yang dianggotai Australia, Kanada, Finland, Jerman, Jepun dan Belanda.
Dalam mesyuarat yang berlangsung di New York pada Selasa, kumpulan itu menegaskan, sebarang ujian nuklear baharu oleh Korea Utara adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.
Mereka turut menggesa Pyongyang mematuhi sepenuhnya semua resolusi berkaitan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Korea Utara dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi KCNA mempertahankan kedudukan negara itu sebagai sebuah negara bersenjata nuklear yang bertanggungjawab.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Korea Utara, Choe Son Hui, menegaskan, status nuklear Pyongyang adalah muktamad dan tidak boleh dipatah balik.
Beliau mengulas kenyataan bersama Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun yang dibuat di luar sesi Perhimpunan Agung PBB minggu ini, yang sekali lagi menegaskan komitmen mereka terhadap usaha denuklearisasi sepenuhnya Semenanjung Korea.
Perjanjian Larangan Menyeluruh Ujian Nuklear (CTBT) yang dipersetujui pada 1996 melarang sebarang letupan ujian senjata nuklear atau letupan nuklear lain di mana-mana lokasi di dunia.
Perjanjian itu diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha global untuk mengurangkan dan akhirnya menghapuskan senjata nuklear sepenuhnya. – Agensi