Skip to main content

Dunia

Koridor Tengah dilihat sebagai alternatif laluan terjejas akibat konflik

Middle Corridor
- Foto middlecorridor.com

ISTANBUL: Koridor Tengah mampu berfungsi sebagai alternatif kepada laluan yang terjejas akibat konflik yang sedang berlaku, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Turkic (OTS), Kubanychbek Omuraliev.

Bercakap kepada Anadolu Ajansi (AA) pada Forum Diplomasi Antalya kelima di selatan Turkiye, Omuraliev menekankan kepentingan koridor itu yang semakin meningkat, sambil menarik perhatian bahawa ia sebelum ini dilihat terutamanya sebagai laluan alternatif - khususnya sebelum konflik Rusia-Ukraine dan ketegangan di Asia Barat.

Advertisement

Beliau berkata dalam jangka pendek, koridor itu menjadi lebih cekap, selamat, singkat dan murah.

Koridor Tengah, yang juga dikenali sebagai Laluan Pengangkutan Antarabangsa Trans-Caspian, merupakan rangkaian pengangkutan multimod yang berkembang pesat - menggabungkan rangkaian kereta api dan maritim - yang menghubungkan China dan Asia Tenggara ke Eropah melalui Kazakhstan, Laut Caspian, Azerbaijan, Georgia dan Turkiye.

Menyentuh mengenai peranan OTS, beliau menegaskan bahawa organisasi itu tidak direka untuk menyelesaikan konflik secara langsung, sebaliknya berfungsi sebagai badan antara kerajaan serantau yang menumpukan kepada kerjasama dalam pelbagai bidang.

Menyifatkan organisasi itu sebagai unik, Omuraliev mengetengahkan asas penubuhannya yang berteraskan perkongsian sejarah, budaya, bahasa dan warisan.

Menurut Omuraliev, organisasi itu kini beroperasi merangkumi pelbagai bidang termasuk dasar luar, pelancongan, pertanian, pengangkutan dan angkasa lepas.

Merujuk kepada sidang kemuncak tidak rasmi ketua-ketua negara OTS yang akan diadakan pada 15 Mei ini di Turkestan, Omuraliev berkata perhimpunan itu telah menjadi platform penting bagi pemimpin negara-negara Turkic.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

 

 

 

Must Watch Video