SEOUL: Lazarus, kumpulan jenayah siber Korea Utara menggodam ratusan komputer milik 61 institusi Korea Selatan tahun lepas dalam usaha melancarkan serangan siber berskala besar di negara itu.

Sejak Jun tahun lepas, sebanyak 207 komputer milik institusi berkenaan, termasuk lapan firma media telah digodam melalui "watering hole" yang mengeksploitasi perisian keselamatan yang dipasang pada komputer itu, lapor Yonhap, memetik Agensi Polis Negara (NPA).

Menurut NPA, sebagai persediaan untuk serangan siber itu, Lazarus mula menggodam pengedar perisian keselamatan Korea Selatan yang menguruskan aspek keselamatan perbankan internet dan aktiviti lain.

Kemudian kod hasad dipasang secara automatik dalam komputer menerusi perisian keselamatan apabila mereka mengakses laman sesawang media tertentu.

NPA mendedahkan bahawa Lazarus telah merancang untuk melakukan serangan siber berskala besar dengan menguasai komputer yang digodam dan mengubahnya menjadi "PC zombie," tetapi percubaan itu telah dikesan oleh pihak berkuasa Korea Selatan terlebih dahulu dan berjaya dicegah.

Lazarus ialah kumpulan penggodam di bawah Biro Am Peninjau kerajaan Korea Utara, yang bertanggungjawab terhadap penggodaman Sony Pictures pada 2014.

-- BERNAMA