JAKARTA: Sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Bali ke Pulau Lombok terbakar di perairan Selat Lombok pada awal pagi Rabu, menyebabkan operasi besar-besaran dilancarkan bagi menyelamatkan semua penumpang dan anak kapal.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, pasukan penyelamat bersama beberapa kapal yang berada berhampiran lokasi berjaya menyelamatkan 106 individu, manakala usaha membawa keluar baki 25 lagi orang daripada feri yang sedang terbakar masih diteruskan.
Feri Putri Yasmin itu berlepas dari Pelabuhan Padang Bai di Bali menuju Pelabuhan Lembar di Lombok sebelum kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.15 pagi waktu tempatan, menurut AP.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Mataram, Muhammad Hariyadi, berkata keutamaan pihak berkuasa ketika ini adalah memastikan keselamatan semua penumpang dan kru yang berada di atas kapal berkenaan.
Beliau berkata operasi menyelamat berdepan cabaran apabila keadaan laut bergelora dengan ombak dilaporkan mencecah ketinggian sehingga empat meter.
Agensi mencari dan menyelamat Indonesia menerima laporan kecemasan hampir 30 minit selepas kebakaran berlaku sebelum segera menggerakkan anggota serta aset ke lokasi kejadian.
Operasi itu turut dibantu kapal Tentera Laut Indonesia, bot peronda, kapal penyelamat serta sebuah helikopter yang digunakan untuk tinjauan udara di kawasan berkenaan.
Berdasarkan data manifes yang dikeluarkan pihak berkuasa pelabuhan Padang Bai, feri tersebut membawa 114 penumpang dan 17 kru. Kapal itu juga mengangkut 44 kenderaan serta 53 motosikal.
Punca kebakaran masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 pulau menjadikan perkhidmatan feri sebagai antara pengangkutan utama penduduk, namun negara itu kerap berdepan insiden maritim yang sering dikaitkan dengan isu pematuhan keselamatan.
Pada 2 Ogos lalu, sekurang-kurangnya lima individu disahkan maut manakala 41 lagi dilaporkan hilang selepas feri KMP Mutiara Sentosa 2 terbakar di perairan berhampiran Pulau Madura ketika dalam pelayaran dari Surabaya ke Makassar.