Skip to main content

Dunia

Zimbabwe isytihar keadaan bencana, korban feri terbalik meningkat kepada 44

zimbabwe
Feri yang dalam perjalanan dari Kariba ke Chalala itu terbalik pada Selasa selepas dipercayai dipukul ombak kuat ketika belayar berhampiran Long Island. - AP
Advertisement

HARARE: Presiden Zimbabwe Emmerson Mnangagwa pada Rabu mengisytiharkan keadaan bencana susulan insiden feri terbalik di Tasik Kariba, ketika polis mengesahkan angka korban meningkat kepada 44 orang, lapor Xinhua. 

Dalam satu kenyataan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Kerja Raya Awam Daniel Garwe berkata pengisytiharan itu membolehkan kerajaan menggerakkan langkah serta sumber luar biasa yang diperlukan bagi membantu dan melindungi mereka yang terjejas atau berisiko terjejas akibat bencana itu.

Menurut Garwe, feri yang dalam perjalanan dari Kariba ke Chalala itu terbalik pada Selasa selepas dipercayai dipukul ombak kuat ketika belayar berhampiran Long Island.

Ketika kejadian, feri itu membawa 114 penumpang dan lima anak kapal. Sejumlah kanak-kanak yang bilangannya belum dapat dipastikan turut dipercayai berada di atas feri berkenaan. Setakat perkembangan terkini, seramai 77 orang berjaya diselamatkan, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Garwe berkata pengisytiharan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi nyawa serta memastikan semua sumber yang diperlukan digerakkan bagi menyokong operasi mencari, menyelamat, pemulihan dan bantuan kemanusiaan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata Unit Perlindungan Awam akan terus menyelaras operasi pelbagai agensi, dengan usaha kini tertumpu kepada mengesan semua penumpang dan anak kapal yang berada di atas feri berkenaan.

"Kerajaan merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga dan insan tersayang mangsa yang terkorban dalam tragedi ini," kata Garwe.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement