Skip to main content

Dunia

AS lancar serangan terhadap tapak peluru berpandu dan dron Iran

[TB]_F-16 fighter jets_X@CENTCOM
CENTCOM menegaskan bahawa pasukannya akan terus menyediakan penyelarasan laluan selamat dan sokongan kepada kapal komersial yang melalui Selat Hormuz. - Foto X/CENTCOM
Advertisement

WASHINGTON: Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mengumumkan bahawa pihaknya telah melancarkan serangan udara ke atas lokasi simpanan peluru berpandu dan dron Iran, susulan serangan Tehran terhadap sebuah kapal komersial di Selat Hormuz.

Menurut kenyataan CENTCOM di platform X, tindakan tersebut diambil selepas Iran didakwa menyerang kapal dagang M/V Ever Lovely pada Khamis menggunakan dron serangan sehala.

“Pesawat Amerika Syarikat telah menyerang lokasi simpanan peluru berpandu dan dron Iran serta tapak radar pantai selepas Iran menyerang M/V Ever Lovely dengan dron,” menurut kenyataan itu.

CENTCOM turut menyifatkan tindakan Iran sebagai pencerobohan yang tidak berasas terhadap perkapalan komersial, selain melanggar gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.

Menurut pihak tentera AS, tindakan Iran itu bukan sahaja mencetuskan ketegangan, malah mengancam kebebasan pelayaran di salah satu laluan perdagangan paling penting di dunia.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang menghubungkan Teluk Parsi dengan pasaran global, dan menjadi nadi utama kepada penghantaran minyak serta barangan antarabangsa.

“Perilaku berbahaya Iran telah menjejaskan kebebasan pelayaran ketika perdagangan semakin bergantung kepada laluan antarabangsa yang kritikal ini,” kata CENTCOM.

Dalam perkembangan sama, CENTCOM menegaskan bahawa pasukannya akan terus menyediakan penyelarasan laluan selamat dan sokongan kepada kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.

Amerika Syarikat (AS) juga menegaskan komitmennya untuk memastikan semua pihak mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui dengan Iran.

“Tentera AS kekal berada di lapangan dan sentiasa berwaspada bagi memastikan setiap aspek perjanjian dengan Iran dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Serangan balas AS ini dijangka meningkatkan lagi ketegangan di rantau Asia Barat, khususnya melibatkan keselamatan perairan antarabangsa.

Pemerhati menjangkakan situasi ini berpotensi memberi kesan kepada kestabilan ekonomi global, terutama jika gangguan terhadap laluan perdagangan utama terus berlanjutan.

 

Must Watch Video

Advertisement