LONDON: Pembinaan landasan ketiga Lapangan Terbang Heathrow ditangguhkan selama empat tahun hingga 2039, lapor PA Media/dpa.
Pengurusan lapangan terbang terbesar dan paling sibuk di United Kingdom (UK) itu difahamkan telah memaklumkan kerajaan bahawa sasaran semasa untuk menyiapkan projek berkenaan menjelang 2035 tidak dapat dicapai.
Perubahan tempoh itu dijangka menjejaskan hasrat Perdana Menteri Andy Burnham untuk memacu pertumbuhan ekonomi ketika persidangan tahunan Parti Buruh bermula di Liverpool.
Sasaran 2035 ditetapkan oleh Canselor ketika itu Rachel Reeves pada Januari lepas dan dianggap sebagai matlamat yang bercita-cita tinggi ketika itu.
Reeves dalam ucapan utama mengenai infrastruktur mengumumkan kerajaan UK akan menyokong projek landasan ketiga itu sebagai usaha merangsang pertumbuhan ekonomi, selain berkata projek berkenaan akan mewujudkan 100,000 pekerjaan.
Pihak lapangan terbang menyasarkan untuk memperoleh kebenaran merancang menjelang 2029 dan sejak awal menganggap pembinaan landasan baharu itu dalam tempoh sedekad sebagai sasaran yang munasabah.
Pengurusan Heathrow percaya projek itu boleh disiapkan lebih awal, namun ia mungkin memerlukan lebih banyak halangan kawal selia dihapuskan selain pembaharuan yang telah dilakukan kerajaan terhadap undang-undang perancangan.
Jurucakap Heathrow berkata: “Adalah wajar sasaran yang tinggi ditetapkan; lebih cepat peluasan dimulakan, lebih cepat seluruh UK akan mendapat manfaat. Tumpuan kami sejak awal adalah untuk memperoleh kebenaran merancang menjelang 2029.
“Selepas kebenaran diperoleh, landasan itu akan dibuka dalam tempoh sedekad dan manfaat peluasan boleh mula dirasai dari sekarang. Sekurang-kurangnya 108,000 pekerjaan baharu akan diwujudkan dan pelaburan berbilion-bilion disalurkan ke dalam rantaian bekalan di seluruh negara.
“Ini merupakan projek nasional yang dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta, yang akan menyokong pertumbuhan ketika ini dan menjamin kedudukan UK dalam ekonomi global sebaik landasan itu dibuka.”
Jurucakap Jabatan Pengangkutan berkata: “Ketika ini, tiada permohonan perancangan aktif bagi landasan ketiga dan kami tidak boleh mengulas mengenai proses rundingan yang sedang berlangsung atau mempengaruhinya dengan cara yang hanya akan melambatkan kemajuan.
“Garis masa itu sememangnya bercita-cita tinggi sejak awal.
“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak yang mengemukakan cadangan, termasuk Heathrow, serta semua pihak berkepentingan lain dengan segera bagi memastikan rangka kerja yang sesuai tersedia untuk membolehkan permohonan perancangan bagi landasan ketiga dipertimbangkan.”
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa