ISTANBUL: Pasukan tentera Israel melancarkan serangan di selatan Lubnan awal pagi Rabu yang juga satu lagi pelanggaran perjanjian rangka kerja diusahakan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi memetik media Lubnan.
Pesawat pejuang Israel menyerang pekan Majdal Zoun di daerah Tyre, menurut laporan ringkas oleh Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi Lubnan.
Butiran lanjut mengenai jumlah korban atau kerosakan harta benda belum diperolehi.
Serangan berlaku di tengah-tengah ketegangan berterusan antara Israel dan Lubnan susulan tercetusnya satu lagi siri keganasan pada 2 Mac.
Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Lubnan sejak 2 Mac dengan mendakwa ia menyasarkan Hezbollah manakala kumpulan itu bertindak balas dengan serangan terhadap Israel, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak November 2024.
Usaha diplomatik yang dikendalikan AS membawa kepada pemeteraian perjanjian rangka kerja antara Israel dan Lubnan pada Jun; perjanjian itu menetapkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari semua wilayah Lubnan yang diduduki digantikan dengan penempatan tentera Lubnan di kawasan tersebut serta pelucutan senjata kumpulan terbabit.
-- BERNAMA-ANADOLU