Skip to main content

Dunia

Laporan PBB zahir kebimbangan pembasmian etnik di tiga kem pelarian Tebing Barat

Sumber: REUTERS
Lebih 33,000 rakyat Palestin telah diusir dari ketiga-tiga kem tersebut dengan 33,362 orang masih tidak dapat pulang sehingga Julai, menurut agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

GENEVA: Satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Jumaat menyatakan bahawa Israel telah menyingkirkan secara paksa seluruh penduduk Palestin dari tiga kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki dan terus menghalang kepulangan mereka, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai pemindahan paksa dan "pembasmian etnik", lapor Anadolu Ajansi.

Laporan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB itu menyatakan, tentera Israel menghalau penduduk kem pelarian Jenin, Nur Shams dan Tulkarm semasa Operasi Iron Wall pada Januari dan Februari 2025.

Menurut laporan tersebut, tentera Israel membunuh orang awam, memusnahkan rumah serta infrastruktur, memotong bekalan air dan elektrik, dan menyekat akses bantuan kemanusiaan sepanjang operasi itu berlangsung.

Lebih 33,000 rakyat Palestin telah diusir dari ketiga-tiga kem tersebut dengan 33,362 orang masih tidak dapat pulang sehingga Julai, menurut agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA.

Laporan itu menyatakan bahawa "penyingkiran secara besar-besaran, berpanjangan dan sistematik" tersebut menimbulkan kebimbangan serius mengenai jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pemindahan paksa.

Menurut laporan itu, tindakan yang menyebabkan kem-kem tersebut tidak lagi sesuai didiami "kelihatan menjurus kepada hukuman kolektif dan menimbulkan kebimbangan mengenai pembasmian etnik."

"Cara Operasi Iron Wall dijalankan membayangkan matlamatnya adalah untuk mengusir seramai mungkin rakyat Palestin dan memberi laluan kepada lebih banyak penempatan haram Israel, yang merupakan satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa," kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk dalam laporan tersebut.

Menurut laporan berkenaan, tentera Israel telah membunuh 102 rakyat Palestin, termasuk 21 kanak-kanak, dalam tempoh yang dikaji.

Angka kematian itu merangkumi 46 peratus daripada keseluruhan rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki sepanjang tempoh tersebut, menurut laporan.

Menjelang Oktober 2025, sebanyak 52 peratus struktur di kem Jenin, 48 peratus di Nur Shams dan 36 peratus di Tulkarm telah musnah atau rosak, menurut laporan itu.

Rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal turut memaklumkan pejabat PBB bahawa pegawai Israel menyatakan "tiada lagi kem pelarian" dan mengarahkan mereka supaya "semuanya pergi ke Jordan."

Pada 23 Feb 2025, Menteri Pertahanan Israel mengarahkan tentera Israel untuk terus berada di ketiga-tiga kem tersebut dan menyatakan bahawa rakyat Palestin yang telah diusir dari situ tidak akan dibenarkan untuk kembali.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement