Skip to main content

Bisnes

Langit tidak lagi neutral: Krisis global buka peluang strategik untuk Malaysia

 malaysia airlines dan jet fuel
Dalam keadaan kos operasi yang terus meningkat, pelbagai pihak melihat keperluan untuk mempertimbangkan pendekatan bersasar termasuk kelonggaran sementara atau moratorium terhad terhadap kos operasi tertentu bagi memastikan industri terus berfungsi. - Foto/ Reuters

KUALA LUMPUR: Tekanan global yang melanda industri penerbangan kini semakin hampir dengan kehidupan harian rakyat apabila kesannya mula dirasai dalam sektor pelancongan, perdagangan, logistik dan pelaburan.

Mantan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Datuk Izham Ismail, menerusi tulisannya dalam The Edge, berpandangan bahawa krisis semasa bukan sekadar cabaran, sebaliknya membuka peluang strategik kepada Malaysia.

Menurut beliau, Malaysia berpotensi memanfaatkan kedudukan geografi serta kestabilan relatif negara untuk mengukuhkan peranannya sebagai hab transit dan pintu masuk serantau.

Namun, keupayaan merebut peluang itu bergantung kepada ketahanan syarikat penerbangan dalam menghadapi peningkatan kos operasi yang berterusan.

Sementara itu, Pengasas Endau Analytics, Shukor Yusof berkata, kesalinghubungan udara merupakan komponen penting kepada kesihatan ekonomi negara.

“Sekiranya ada terputusnya... ataupun rangkaian air connectivity ini terganggu maka akan menjejas keseluruhan the health of the economy of Malaysia.

"Contohnya sekiranya waktu ini, tahun ini... kita ada Kempen Tahun Melawat Malaysia namun harga jet fuel telah melambung tinggi yang menyebabkan sukar untuk syarikat penerbangan untuk operasi,” katanya.

Beliau berkata, syarikat penerbangan di rantau ini kini berdepan cabaran besar akibat kenaikan mendadak harga bahan api jet.

“Apa yang saya telah bincang dengan syarikat-syarikat penerbangan bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau ini, mereka memberitahu saya sekiranya harga bahan api jet yang terlalu mahal, tiada guna lagi mereka untuk terbang.

“Sebab sekiranya mereka terbang atau beroperasi, mereka akan rugi. Rugi banyak sekali.

“Jadi lebih baik mereka membuat refund atau memulangkan semula tiket yang sudah dibeli oleh pelanggan atau dalam bahasa Inggeris kita panggil “cut the losses”,” ujarnya.

Keadaan itu berisiko menyebabkan kos operasi dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga tiket penerbangan, caj kargo serta harga barangan.

Justeru, Shukor berpandangan pendekatan sistemik lebih berkesan berbanding memindahkan sepenuhnya tekanan global kepada pengguna.

“Jadi ada baiknya juga pada fikiran saya mereka diberikan ruangan untuk mengatasi krisis ini dengan diberikan sokongan, contohnya boleh diberikan line kredit yang lebih ataupun untuk masa terdekat sekiranya mereka perlu bayar hari ini, mungkin boleh diberi luangan untuk bayar bulan depan,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan beberapa langkah bersasar bagi membantu industri menghadapi tempoh sukar ini.

"Antaranya mengurangkan ataupun membebaskan pembayaran passenger service charge dari pihak MAHB dan pihak lapangan terbang, penguasa lapangan terbang... jadi maksud saya benda-benda kecil ini boleh membantu.

It goes a long way to help the airlines walaupun sikit tetapi setiap hari ia boleh kata amat besar dan saya yakin pihak syarikat penerbangan will appreciate whatever little that can be extended to them,” tambahnya.

Menurut pemerhati industri, isu ini bukan sekadar melibatkan syarikat penerbangan semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan ekosistem pekerjaan, perdagangan dan daya saing negara.

Apabila sistem penerbangan terjejas, kesannya boleh meresap ke seluruh rantaian ekonomi termasuk pelancongan, logistik, keyakinan pelabur dan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau.

Seperti yang kata Izham, penerbangan merupakan infrastruktur strategik yang menyokong ekonomi negara daripada sektor pelancongan hinggalah perdagangan.

Dalam keadaan kos operasi yang terus meningkat, pelbagai pihak melihat keperluan untuk mempertimbangkan pendekatan bersasar termasuk kelonggaran sementara atau moratorium terhad terhadap kos operasi tertentu bagi memastikan industri terus berfungsi.

Must Watch Video

Advertisement