Skip to main content

Malaysia

Pemandu traktor maut kenderaan terbalik ke dalam kolam di kilang sawit

51768372637_mayat.jpg
Pemandu itu dipercayai telah tersepit dan lemas, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar hiasan

KUANTAN: Seorang pemandu traktor meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan, sebelum terbalik ke dalam kolam di sebuah kilang sawit di Kampung Tersang, Raub semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang melibatkan mangsa Mohamad Syariffudin Jemain, 37, kira-kira 10 malam. 

Advertisement

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang melakukan pergerakan mengundur, jentera tersebut telah hilang kawalan sebelum terbalik dan masuk ke kolam berhampiran.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu itu dipercayai telah tersepit dan lemas, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Hospital Raub,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bedah siasat terhadap Mohamad Syariffudin akan dilakukan pada 10 pagi hari ini di unit forensik Hospital Raub dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pemandu jentera terbalik ke dalam kolam buangan sisa sawit itu pada 9.11 malam.

Beliau berkata semasa sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub tiba di lokasi kejadian pada 9.38 malam, mangsa telah dikeluarkan oleh pekerja kilang berkenaan dan mayat pemandu itu seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video