MINA: Sistem kesihatan telah menyediakan lebih 1.2 juta perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada jemaah haji sejak permulaan musim haji sehingga 10 Zulhijah, kata Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi Abdulaziz Abdulbaqi, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Perkhidmatan itu merupakan sebahagian daripada usaha bersepadu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan dan menambah baik akses kepada rawatan, sekali gus memastikan kesihatan jemaah haji terus terpelihara.
Usaha berkenaan selaras dengan objektif Program Transformasi Sektor Kesihatan dan Program Pengalaman Jemaah Haji di bawah Visi 2030 Arab Saudi bagi memastikan jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan mudah dan tenang.
Menurut data kementerian, seramai 49,931 penerima manfaat menerima perkhidmatan menerusi pusat penjagaan kesihatan dan rawatan segera, manakala jabatan kecemasan mengendalikan 41,782 kes. Klinik pesakit luar menerima 14,501 kunjungan dan 4,901 pesakit dimasukkan ke hospital.
Data itu turut menunjukkan sebanyak 29 pembedahan jantung terbuka, 251 prosedur pengkateteran dan 337 prosedur pembedahan pelbagai jenis telah dijalankan.
Selain itu, pasukan perubatan bertindak balas dengan segera dan cekap terhadap 466 kes kelesuan haba sebagai sebahagian daripada sistem lapangan yang direka untuk memastikan tindak balas pantas dan memperkukuh intervensi perubatan di pelbagai lokasi. Pusat panggilan bersepadu (937) turut menerima lebih 1,082,628 panggilan.
Sistem kesihatan terus beroperasi pada tahap kecekapan tinggi menerusi perancangan proaktif serta rangkaian penjagaan kesihatan yang bersepadu dan maju bagi memastikan rawatan perubatan yang selamat kepada jemaah haji. Usaha itu mencerminkan komitmen berterusan sistem kesihatan dalam menyediakan piawaian penjagaan tertinggi sepanjang musim haji.
-- BERNAMA-SPA