KUALA LUMPUR: Suryapath Tiranga mencatatkan perjalanan bersejarah sempena sambutan Hari Kemerdekaan India ke-80 pada Sabtu, dengan bendera kebangsaan India dibawa merentasi 54 negara mengikut laluan matahari terbit, termasuk Malaysia.
Perjalanan simbolik itu menghubungkan perwakilan India di pelbagai benua menerusi pengibaran Tiranga secara berturut-turut mengikuti pergerakan matahari dari timur ke barat.
Surya bermaksud matahari manakala Path membawa maksud laluan atau perjalanan.
Gabungan kedua-dua perkataan itu secara literal merujuk kepada 'perjalanan matahari', sementara Tiranga pula bermaksud bendera tiga warna yang merujuk kepada bendera kebangsaan India.
Dalam konteks sambutan Hari Kemerdekaan India, Suryapath Tiranga menggambarkan perjalanan simbolik membawa Tiranga merentasi pelbagai negara, yang melambangkan semangat patriotisme, perpaduan dan kebanggaan terhadap negara, khususnya dalam memperingati kemerdekaan India.
Di Malaysia, sambutan itu dihadiri lebih 1,800 diaspora India yang berkumpul di kediaman rasmi India House, Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, di ibu negara, pada Sabtu.
Memetik kenyataan kerajaan India yang disiarkan di laman rasmi, Suryapath Tiranga bermula pada 1.30 pagi waktu India (3.30 pagi waktu Malaysia) di Suva, Fiji, apabila bendera Tiranga dikibarkan sebagai titik permulaan sebelum perjalanan simboliknya diteruskan mengikut laluan terbit matahari.
Dari Fiji, perjalanan berkenaan bergerak merentasi New Zealand, Australia, Jepun, Republik Korea dan China, sebelum meneruskan ke Indonesia, Vietnam, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar.
Di setiap perwakilan diplomatik dan pusat operasi India yang terlibat, bendera kebangsaan dikibarkan, mewujudkan satu rangkaian visual Tiranga yang bergerak merentasi zon waktu dan benua.
Menjelang pukul 8 pagi waktu India (10.30 pagi waktu Malaysia), perjalanan itu tiba di Bangladesh sebelum diteruskan ke Bhutan, Nepal, Sri Lanka dan Maldives.
Ia berkenaan kemudiannya bergerak ke arah barat melalui Uzbekistan dan Oman, sebelum tiba di Emiriah Arab Bersatu pada 9.45 pagi dan Qatar pada 10.30 pagi waktu India (12.30 tengah hari waktu Malaysia).
Mulai 10.45 pagi waktu India, Suryapath Tiranga meneruskan perjalanan ke barat melalui Kuwait, Arab Saudi, Ethiopia, Rusia, Kenya, Israel, Mesir dan Afrika Selatan, sebelum tiba di Pretoria pada 12.30 tengah hari waktu India.
Perjalanan itu kemudiannya memasuki Eropah dengan bendera Tiranga dikibarkan secara berturut-turut di Latvia, Jerman, Itali, Belgium, Belanda, Perancis, United Kingdom, Sepanyol, Maghribi dan Iceland.
Daripada Riga pada 12.45 tengah hari hingga Reykjavik pada 3 petang waktu India, perjalanan berkenaan membentuk rangkaian sambutan di seluruh Eropah, sekali gus memperlihatkan jangkauan global bendera kebangsaan India.
Ketika bergerak ke barat, perjalanan itu merentasi Lautan Atlantik menuju ke benua Amerika, dengan Brasília, Brazil dijadualkan pada 4.30 petang waktu India, diikuti Paramaribo, Suriname pada 4.45 petang waktu India.
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Hitesh Rajpal ketika berucap berkata, Malaysia turut menjadi sebahagian daripada inisiatif global Suryapath Tiranga, yang menghubungkan perwakilan India di seluruh dunia menerusi pengibaran bendera kebangsaan secara berturut-turut.
"Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas penyertaan penuh semangat dalam menjayakan pelbagai program yang dianjurkan sempena sambutan ini," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, hubungan strategik India-Malaysia terus diperkukuh menerusi kerjasama dalam sektor berimpak tinggi.
Katanya, antara bidang berkenaan termasuk semikonduktor, pembayaran digital dan teknologi kewangan (fintech), pertahanan, keselamatan serta tenaga boleh diperbaharui.
“Hubungan rakyat dengan rakyat kekal menjadi tonggak utama hubungan India-Malaysia, termasuk menerusi pelancongan, pendidikan dan kebudayaan," tambahnya.
Hitesh berkata, Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia turut menganjurkan pelbagai program sempena sambutan Hari Kemerdekaan India tahun ini dengan penyertaan aktif komuniti India.
Hitesh berkata, komuniti berketurunan India di Malaysia yang berjumlah hampir 2.75 juta orang terus memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung dalam memperkukuh hubungan dua hala India-Malaysia.
Katanya, pertalian sejarah, budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat yang terjalin kukuh antara kedua-dua negara menjadi asas penting dalam mempererat hubungan serta kerjasama pada masa hadapan.
Sambutan itu turut menandakan ulang tahun ke-150 Vande Mataram, lagu patriotik yang menjadi antara simbol penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan India