Skip to main content

Dunia

Lebih 250,000 penduduk dipindahkan akibat kebakaran hutan di Perancis dan Sepanyol

A fire engine works to extinguish flames, as a wildfire burns near Lacanau, Gironde, amongst worsening drought conditions following a heatwave and water shortages across much of France, July 25, 2026. REUTERS/Abdul Saboor
Sebuah jentera bomba menjalankan operasi pemadaman ketika kebakaran hutan marak berhampiran Lacanau, Gironde, susulan keadaan kemarau yang semakin buruk selepas gelombang haba dan kekurangan bekalan air yang melanda sebahagian besar Perancis. - Foto REUTERS
Advertisement

PARIS: Lebih 250,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas kebakaran hutan besar yang melanda Perancis dan Sepanyol terus merebak, diburukkan lagi oleh cuaca panas dan angin kencang yang menyukarkan usaha pemadaman.

Di Perancis, kira-kira 200,000 penduduk telah dipindahkan dari wilayah Gironde dan Landes di barat daya negara itu.

Kebakaran yang berlaku berhampiran Bordeaux masih belum dapat dikawal sepenuhnya, dengan asap tebal ditiup angin ke arah bandar tersebut.

Kerajaan Perancis turut menggerakkan anggota tentera bagi membantu pasukan bomba, termasuk membersihkan kawasan semak serta mewujudkan laluan pemisah untuk menghalang api daripada terus merebak.

Sementara itu di Sepanyol, hampir 60,000 penduduk dipindahkan dari kawasan Madrid dan Ávila, manakala lebih 28,000 lagi diarahkan kekal di kediaman masing-masing.

Kerajaan mengisytiharkan darurat susulan kebakaran yang disifatkan sebagai antara yang paling buruk pernah melanda rantau Madrid.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, berkata perubahan cuaca yang membawa kelembapan lebih tinggi dan suhu lebih rendah membantu operasi pemadaman, namun angin kencang masih menjadi cabaran utama.

Seorang lelaki berusia sekitar 70-an turut dilaporkan maut selepas ditemui dalam kenderaan yang terbakar di kawasan Manises, Valencia.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 130,000 hektar tanah telah musnah akibat kebakaran di Sepanyol tahun ini, manakala hampir 98,000 hektar terbakar di Perancis sejak awal 2026.

Kesatuan Eropah (EU) telah mengaktifkan bantuan kecemasan dengan menghantar pesawat pengebom air, helikopter dan anggota bomba dari beberapa negara bagi membantu usaha memadamkan kebakaran.

Pesuruhjaya Pengurusan Krisis EU, Hadja Lahbib, memberi amaran bahawa Eropah berdepan risiko mencatat rekod baharu kebakaran hutan tahun ini berikutan gelombang haba yang bermula lebih awal serta keadaan cuaca yang semakin ekstrem.
 

 

Must Watch Video

Advertisement