Skip to main content

Dunia

Lee cadang sekatan terhadap Korea Utara ditarik balik sebagai balasan gantung program nuklear

Lee dilaporkan berpandangan bahawa pendekatan berasaskan insentif berpotensi membuka ruang kepada rundingan yang lebih konstruktif antara masyarakat antarabangsa dan Pyongyang. - Foto REUTERS
Lee dilaporkan berpandangan bahawa pendekatan berasaskan insentif berpotensi membuka ruang kepada rundingan yang lebih konstruktif antara masyarakat antarabangsa dan Pyongyang. - Foto REUTERS
Advertisement

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, dilaporkan menggesa supaya sekatan antarabangsa terhadap Korea Utara ditarik balik sebagai pertukaran kepada langkah Pyongyang menggantung program nuklearnya.

Menurut laporan The New York Times, cadangan itu dikemukakan sebagai usaha untuk menghidupkan semula proses diplomatik dan mengurangkan ketegangan di Semenanjung Korea yang sekian lama terjejas akibat isu pembangunan senjata nuklear Korea Utara.

Lee dilaporkan berpandangan bahawa pendekatan berasaskan insentif berpotensi membuka ruang kepada rundingan yang lebih konstruktif antara masyarakat antarabangsa dan Pyongyang.

Advertisement

Beliau mencadangkan supaya pelonggaran sekatan dipertimbangkan sekiranya Korea Utara bersetuju menghentikan program nuklear dan mengambil langkah yang boleh disahkan ke arah pelucutan senjata.

Cadangan itu dilihat berbeza daripada pendekatan yang lebih menekankan tekanan ekonomi dan diplomatik ke atas Korea Utara bagi memaksa negara itu menghentikan pembangunan senjata nuklear serta peluru berpandu balistik.

Advertisement

Isu nuklear Korea Utara kekal menjadi antara cabaran keselamatan utama di rantau Asia Timur, dengan beberapa pusingan rundingan terdahulu gagal mencapai penyelesaian berkekalan.

Setakat ini, belum terdapat reaksi rasmi daripada Korea Utara berhubung cadangan berkenaan.

Amerika Syarikat dan sekutunya sebelum ini menegaskan bahawa sebarang pelonggaran sekatan perlu disertai langkah konkrit oleh Pyongyang ke arah pelucutan senjata nuklear yang boleh disahkan dan tidak boleh diundur semula.

Cadangan Lee dijangka menjadi antara topik penting dalam perbincangan diplomatik serantau ketika usaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu nuklear Korea Utara terus dipergiatkan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement