Legenda filem Bollywood, Rishi Kapoor dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun di Sir HN Reliance Foundation Hospital di Mumbai, India pada Khamis selepas dikejarkan ke hospital akibat kesukaran bernafas pada Rabu.

Portal tempatan The Times of India melaporkan, perkara itu disahkan oleh abang mendiang, Ranbir Kapor.

Mendiang dimasukkan ke hospital tersebut pada Rabu ekoran penyakit kanser yang dihidapinya sejak 2018.

Nama Rishi melonjak selepas filem romantik remaja lakonannya Bobby disiarkan pada 1973. Filem ikonik itu turut dikenali dengan lagu Hindi, Main Syahar To Nahin dan Hum Tum Ek Kamre Mein hasil nyanyian legenda Lata Mageshkar dan Shailendra Singh.

Menurut adiknya, Randhir Kapoor, Rishi dikejarkan ke hospital selepas mengalami masalah pernafasan. Beberapa jam kemudian, Randhir memaklumkan agensi berita PTI tentang keadaan abangnya yang stabil.

Rishi yang merupakan anak kepada Raj Kapoor turut popular dengan filem-filem box-office termasuk Bol Radha Bol.

Pernah merangkul anugerah Pelakon Terbaik dalam Filmfare Award (1974) untuk wataknya dalam filem Bobby.

Rishi pernah dimasukkan ke hospital di New York untuk rawatan barah pada tahun lalu dan baharu sahaja pulang ke Mumbai selepas menerima rawatan di Amerika Syarikat selama 11 bulan.

Akibat barahnya yang semakin meruncing, Rishi pernah dimasukkan ke hospital di New Delhi dan Mumbai sebanyak dua kali pada bulan Februari.

Rishi meninggalkan balu Neetu Kapoor, seorang anak lelaki Ranbir dan anak perempuan, Riddhima. Kali terakhir Rishi berlakon merupakan dalam filem, The Body dan Jhoota Kahin Ka.

Industri filem Bollywood turut kehilangan sebutir permata semalam dengan pemergian Irrfan Khan, aktor yang pernah membintangi filem Hollywood, Slumdog Millionaire dan Life of Pi. Irrfan meninggal dunia pada Khamis selepas bertarung dengan barah usus.