SEORANG lelaki warga Arab Saudi, yang disyaki terlibat dengan pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi, ditahan di Perancis.

Suspek, Khaled Aedh Alotaibi ditahan di Lapangan Terbang Charles De Gaulle, Paris.

Dia merupakan salah seorang daripada 26 suspek warga Arab Saudi dikehendaki Turki berkaitan kes berkenaan.

Alotaibi, bekas pengawal diraja dilaporkan diletakkan dalam tahanan khas.

Bagaimanapun Riyadh dalam satu kenyataan memaklumkan penahanan adalah satu kesilapan identiti, dan semua suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan itu sudah disabit kesalahan di Arab Saudi.

Khashoggi, pengkritik lantang Riyadh, dibunuh di dalam bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018.

Arab Saudi sebelum ini mendedahkan Khashoggi dibunuh dalam satu operasi rahsia.

Namun Turki mendakwa operasi berkenaan dilaksanakan atas arahan kerajaan dan ia dikaitkan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Putera Mohammed Salman.

Lapan suspek yang tidak dinamakan sebelum ini disabit kesalahan membunuh Khashoggi.

Lima daripadanya dijatuhkan hukuman mati namun ia kemudian dipinda ke penjara 20 tahun.

Sementara tiga lagi dipenjara tujuh ke 10 tahun atas kesalahan menyembunyikan pembunuhan itu.