Skip to main content

Dunia

Lelaki bersenjata cedera ditembak dalam insiden keselamatan berhampiran White House

A U.S. Secret Service crime scene investigator works at the scene of an officer-involved shooting in Washington, D.C., U.S., May 4, 2026. REUTERS/Jonathan Ernst TPX IMAGES OF THE DAY
Arahan perintah berkurung sementara dikeluarkan di kompleks White House sebagai langkah keselamatan, sebelum ditarik balik selepas ancaman disahkan terkawal. -Foto Reuters

WASHINGTON: Anggota Perkhidmatan Rahsia (Secret Service) Amerika Syarikat (AS) menembak seorang lelaki bersenjata berhampiran kompleks White House pada Isnin dalam satu insiden keselamatan yang mencetuskan perintah berkurung sementara di kawasan berkenaan.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku di perimeter luar White House ketika ejen Perkhidmatan Rahsia sedang menjalankan rondaan keselamatan. Suspek dikesan berkelakuan mencurigakan dan membawa senjata api berhampiran kawasan Monumen Washington.

Advertisement

Apabila didekati oleh pegawai berpakaian seragam, lelaki tersebut dilaporkan enggan mematuhi arahan dan cuba melarikan diri sebelum satu insiden tembakan tercetus. Anggota Perkhidmatan Rahsia kemudian melepaskan tembakan, mencederakan suspek berkenaan.

Lelaki itu kini berada di bawah kawalan polis dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital tempatan. Keadaan kecederaannya setakat ini belum didedahkan secara rasmi.

Pihak berkuasa turut mengesahkan seorang individu awam yang berada berhampiran mengalami kecederaan ringan ketika insiden tersebut, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Arahan perintah berkurung sementara dikeluarkan di kompleks White House sebagai langkah keselamatan, sebelum ditarik balik selepas ancaman disahkan terkawal.

Difahamkan, Presiden Donald Trump berada di White House pada ketika kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa memaklumkan bahawa setakat ini tiada bukti menunjukkan suspek secara khusus menyasarkan mana-mana individu di dalam White House, meskipun sebuah konvoi rasmi melibatkan Naib Presiden JD Vance dilaporkan melalui kawasan berdekatan sebelum kejadian.


Siasatan lanjut berhubung motif dan latar belakang suspek kini dijalankan oleh Jabatan Polis Metropolitan Washington dengan kerjasama agensi persekutuan termasuk Perkhidmatan Rahsia.

Must Watch Video