SEORANG lelaki berjaya diselamatkan selepas tersepit dalam ruang antara dinding sebuah teater di New York, Amerika Syarikat.

Anggota bomba dikerah ke bangunan tersebut pada jam 7.30 malam waktu tempatan, selepas seorang pengunjung terdengar jeritan lelaki berkenaan.

Mangsa dipercayai tersepit dalam ruang berkenaan selama dua hari.

Media tempatan melaporkan, lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan berbogel dan dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.

Balai bomba Syracuse dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasminya memberitahu, siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana mangsa memasuki ruangan tersebut.


 
Sumber Facebook permalink.php?story_fbid=4278117185633805&id=417244368387792"><

Pengarah Teater Landmark, Mike Intaglietta berkata, mangsa dilihat berlegar di luar bangunan berkenaan pada awal minggu lalu, memetik laporan Syracuse.com.

"Saya tidak pasti jika dia memasuki bangunan kami untuk menggunakan tandas atau untuk memanaskan badan," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Bomba Syracuse, John Kane memberitahu media tempatan, mangsa tersepit dalam ruang antara dinding itu selama dua hari.

Siasatan awal turut mendapati mangsa terjatuh ke dalam ruangan tersebut dari tandas lelaki.

Mangsa turut didapati mengalami masalah mental dan tidak akan didakwa atau didedah identitinya.